KOTA KINABALU: Sabah akan menikmati tambahan hari kelepasan am sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, tertakluk kepada tarikh sebenar perayaan tersebut.
Menurut Warta Kerajaan Sabah yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, bertarikh 18 Mac 2026 di bawah Ordinan Hari Kelepasan (Bab 56), sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 21 Mac 2026, maka 20 Mac 2026 akan diisytiharkan sebagai hari kelepasan tambahan.
Manakala, jika Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 20 Mac 2026, maka 23 Mac 2026 akan ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah menetapkan hari berikut sebagai hari kelepasan tambahan kepada hari yang dinyatakan dalam Jadual Pertama Ordinan,” menurut warta tersebut.
Warta berkenaan turut memaklumkan bahawa ketetapan itu dibuat atas perintah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan berkuat kuasa di seluruh Sabah.
































