Masidi (tengah) bersama Charles dan rombongan selepas kunjungan tersebut selesai.
KOTA KINABALU: Perbadanan Pinjaman Sabah disaran terus memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap inisiatif pembiayaan yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, aspek integriti, ketelusan dan kecekapan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan agensi itu.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Perbadanan Pinjaman Sabah yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Charles Peter Mojuntin, di pejabatnya, di sini, hari ini.
Menurut Masidi, tadbir urus yang baik serta pengurusan kewangan yang berhemah amat penting bagi memastikan perbadanan tersebut terus kekal relevan dan mampu memberi impak positif kepada Sabah.
“Perbadanan Pinjaman Sabah perlu terus mengutamakan integriti, ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan, di samping memastikan setiap inisiatif pembiayaan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat oleh Charles mengenai perkembangan semasa Perbadanan Pinjaman Sabah termasuk prestasi kewangan, inisiatif pembiayaan serta perancangan strategik agensi berkenaan dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Beliau menyambut baik usaha yang dilaksanakan dan berharap perbadanan tersebut akan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi Sabah melalui pelaksanaan program pembiayaan yang inklusif dan mampan.
































