Mohd. Rizan menyampaikan bantuan khas Kerajaan Negeri kepada Ahmad Subri.
TAMBUNAN: Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDN&P), Jabatan Ketua Menteri, telah menyalurkan bantuan khas berjumlah RM57,250 bagi membantu guru-guru yang terjejas akibat insiden kebakaran di Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan.
Timbalan Setiausaha PHEDN&P, Mohd. Rizan Abran menyampaikan bantuan tunai khas tersebut dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Daerah Tambunan, di sini, hari ini.
Mohd. Rizan berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban guru-guru terlibat yang kehilangan pelbagai peralatan pengajaran serta barangan peribadi dalam kebakaran pada 12 Oktober tahun lalu.
Katanya, insiden berkenaan bukan sahaja memusnahkan sebahagian kemudahan sekolah, malah turut menyebabkan bahan pengajaran, peralatan elektronik serta harta peribadi milik guru-guru musnah dijilat api.
“Kerajaan Negeri prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi mangsa dan berharap bantuan khas ini dapat membantu mereka menggantikan keperluan asas serta peralatan pengajaran,” katanya.
Antara penerima bantuan khas itu ialah Guru Besar sekolah berkenaan, Ahmad Subri Janing yang kehilangan komputer riba serta bahan pengajaran.
Turut menerima bantuan ialah beberapa guru lain yang kehilangan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), fail, buku rujukan, peralatan audio seperti pembesar suara serta barangan peribadi termasuk peralatan rumah dan kenderaan.
































