Jerry (kiri) dan Yazid
KOTA KINABALU: Kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap hak Sabah, khususnya berkaitan pemberian khas 40 peratus hasil bersih negeri, terus menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak di negeri ini.
Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd. Said menyambut baik penjelasan Perdana Menteri mengenai keputusan kerajaan memfailkan rayuan terhadap sebahagian penghakiman mahkamah berkaitan tuntutan tersebut.
Menurut beliau, penjelasan itu penting bagi memperjelaskan bahawa langkah rayuan yang diambil oleh Putrajaya tidak bermaksud menolak hak Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, penegasan bahawa kerajaan tidak merayu isu hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah membuktikan komitmen jelas Kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak perlembagaan negeri itu.
“Penjelasan ini amat penting kerana ia memberi gambaran sebenar bahawa rayuan yang difailkan bukan bertujuan menolak hak Sabah, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan terhadap beberapa kenyataan dalam penghakiman mahkamah.
“Perkara ini perlu difahami secara objektif supaya ia tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu khususnya parti pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan rakyat Sabah wajar menghargai pendirian Kerajaan pimpinan Anwar yang secara terbuka menyatakan komitmen terhadap hak 40 peratus hasil bersih negeri itu tidak pernah dipertikaikan.
Menurutnya lagi, kenyataan tersebut memberi keyakinan bahawa usaha memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus diperkasakan demi kepentingan rakyat.
“Yang penting sekarang ialah memastikan pelaksanaan perkara yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara tersusun dan berlandaskan proses perundangan serta pentadbiran yang jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Jerry menyifatkan pendekatan Perdana Menteri yang mahu mendapatkan penjelasan rasmi melalui proses mahkamah sebagai langkah matang bagi memastikan fakta sejarah dan peranan pemimpin terdahulu negara terus dihormati.
Beliau berkata, pemimpin terdahulu Persekutuan dan Sabah memainkan peranan besar dalam pembentukan Malaysia, justeru sebarang tafsiran yang boleh menimbulkan kekeliruan wajar diperjelaskan melalui saluran perundangan yang sewajarnya.
“Pendekatan ini menunjukkan kerajaan mahu memastikan semua perkara ditangani secara telus dan berlandaskan undang-undang, sambil terus mengekalkan komitmen terhadap hak Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan yang meningkatkan peruntukan pembangunan kepada Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk bagi projek bekalan air, elektrik, infrastruktur serta pelbagai program pembangunan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles turut menyambut baik komitmen Perdana Menteri berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, yang disifatkan sebagai memberi sinar baharu kepada rakyat negeri ini.
Beliau berkata, kenyataan bahawa pemberian tersebut merupakan keputusan dasar kerajaan yang telah dimuktamadkan dan tidak lagi tertakluk kepada rundingan semula mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini adalah perkembangan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah sejak sekian lama. Justeru, kita berharap komitmen ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan segera tanpa sebarang halangan atau penangguhan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan pemberian khas 40 peratus hasil itu bukan sahaja melibatkan soal hak, malah menjadi pemangkin utama kepada usaha memperkukuh pembangunan negeri secara menyeluruh.
Katanya, tambahan hasil tersebut berupaya membantu Kerajaan Negeri menangani isu asas yang masih membelenggu rakyat termasuk bekalan air bersih, elektrik serta pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan luar bandar.
“Dengan sumber kewangan yang lebih kukuh, pelbagai perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkaitan dapat mempercepatkan proses pelaksanaan supaya hak Sabah dapat direalisasikan sepenuhnya, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta demi menjamin masa depan yang lebih sejahtera untuk negeri dan rakyatnya.































