Jamawi (tengah), Jumain (dua dari kiri) serta Pairin (dua dari kanan) bergambar bersama Matthew (kiri) dan Taitim (kanan) sambil mempamerkan dokumen MoU masing- masing yang telah ditandatangani.
TAMBUNAN: Kerjasama strategik antara Sabah Credit Corporation dan AgriData diyakini mampu memperkukuh transformasi sektor pertanian negeri melalui pemodenan teknologi, pemerkasaan usahawan serta peningkatan keterjaminan makanan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu yang dizahirkan menerusi Majlis Menandatangani Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak serta perasmian pembukaan AgriSpark yang berlangsung hari ini menjadi platform penting dalam memperluas kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan rakan industri bagi memodenkan sektor pertanian serta meningkatkan produktiviti tempatan.

Jamawi (dua dari kanan) dan Pairin (dua dari kiri) serta yang lain melihat tanaman tomato ceri yang ditanam di situ.
“Kerjasama strategik ini mampu memberi impak positif khususnya dalam membuka peluang kepada lebih ramai anak muda mendapatkan garis panduan dan idea untuk menceburi sektor pertanian melalui kerjasama bersama AgriData,” katanya dalam ucapan perasmian.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Jumain Abdul Ghani; mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk George Taitim Tulas; serta mantan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Jamawi berkata, kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri penting bagi meningkatkan tahap sara diri negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh pengeluaran hasil pertanian tempatan.
Katanya, tiga sumber utama yang mempunyai import paling tinggi iaitu, padi bawang, jagung (makanan ternakan) dan sayur-sayuran.
Padi beras misalnya, penduduk kita memakan nasi dalam setahun dengan jumlah 286,489 tan beras. Kita hanya dapat menghasilkan beras 56,000 tan. 230, 632 tan adalah beras import daripada Vietnam. Kerajaan memperuntukkan RM80juta subsidi diberikan kepada penanaman padi di Thailand/ Vietnam.
“Oleh itu, Datuk Seri Panglima memberikan idea mewujudkan Lembaga Padi dan Beras (LPBS). Saya akan berusaha sehabis baik merealisasikan impian supaya meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) padi,” katanya.

Jamawi (kanan) sedang meneliti buah tomato.
Jamawi turut menegaskan kementeriannya komited menyokong transformasi pertanian tradisional kepada pertanian berasaskan teknologi bagi meningkatkan hasil tanaman serta memberikan pulangan lebih lumayan kepada petani.
Beliau berkata, penggunaan teknologi moden diyakini mampu mempercepat proses pemodenan sektor pertanian sekali gus meningkatkan daya saing industri tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Sehubungan itu, Jamawi merakamkan penghargaan kepada penganjur atas kejayaan menganjurkan majlis berkenaan yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan serta pemodenan sektor pertanian negeri.
Beliau berharap kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan AgriData dapat diteruskan bagi memastikan sektor pertanian Sabah berkembang secara mampan serta memberi manfaat kepada rakyat.

Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan semua tetamu jemputan yang hadir dalam majlis itu.
Jamawi berkata, sejak hari pertama menjawat jawatan menteri, kementeriannya memperkenalkan beberapa inisiatif utama bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan penglibatan rakyat dalam sektor pertanian.
Beliau menjelaskan antara inisiatif itu ialah Program Kebun Dapur yang berkonsepkan penghasilan tanaman, perikanan dan ternakan berskala kecil mengikut kesesuaian kawasan serta kemampuan isi rumah.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan rakyat memperoleh sumber makanan asas termasuk protein secara lebih kendiri, sekali gus menyokong usaha memastikan bekalan makanan berterusan dan stabil.
Selain itu, Jamawi berkata, kementerian turut melaksanakan Program Mentor–Mentee Pertanian sebagai langkah mengenal pasti golongan muda yang aktif dalam bidang pertanian untuk membimbing generasi baharu menceburi sektor berkenaan.
Beliau turut memuji anak muda yang juga Mentor dalam program Mentor -Mentee, Matthew Johnny Kulai yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama AgriData yang memulakan penanaman sayur-sayuran seperti salad, tomato kristal, tomato ceri, tomato, timun jepun dan strawberi dan lain-lain di situ.






























