PAITAN: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Paitan menerima penghantaran logistik berskala besar berkapasiti 15 tan berupa bekalan makanan dan keperluan berkaitan bagi membantu mangsa banjir di kawasan Sugut dan Paitan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata, bekalan tersebut selamat tiba di pusat agihan KDCA Paitan baru-baru ini dan kini sedang diselaras untuk diagihkan secara berperingkat ke kampung-kampung terjejas serta Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di kawasan terlibat.
Menurut beliau, penghantaran logistik berkenaan memperkukuh peranan KDCA Paitan sebagai hab utama pengagihan bantuan sekali gus memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi serta dapat disalurkan secara tersusun dan efisien kepada rakyat yang terkesan akibat bencana banjir.
“Usaha ini penting bagi memastikan setiap mangsa banjir menerima bantuan sewajarnya tanpa kelewatan, khususnya di kawasan pedalaman yang terjejas teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan serta para penyumbang yang terus memberikan komitmen dan kerjasama padu dalam menjayakan operasi bantuan berkenaan.
Katanya, sinergi antara pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan amat penting dalam memastikan pengurusan bantuan berjalan lancar dan sampai kepada golongan sasar.
Pejabat ADUN N.48 Sugut, katanya, akan terus memantau perkembangan semasa di lapangan serta memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disalurkan dengan segera demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Sugut dan Paitan.
































