Azizah menyampaikan sumbangan bakul makanan.
KOTA KINABALU: Seramai 30 penerima asnaf menerima sumbangan bakul makanan menerusi program kebajikan anjuran Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berlangsung di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan, di sini, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun sebagai tanda komitmen berterusan sayap wanita gabungan berkenaan dalam membantu golongan memerlukan khususnya sepanjang Ramadan.
Azizah berkata, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, malah menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan serta solidariti dalam kalangan masyarakat.
“Kita mahu memastikan golongan asnaf tidak terpinggir, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar. Bantuan ini mungkin kecil, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika majlis penyampaian bakul makanan kepada 30 asnaf di Dewan PPS Sembulan di sini.
Turut hadir Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Timbalan Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot serta para penerima sumbangan.
Azizah turut menyeru syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya tampil bersama menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf serta keluarga kurang berkemampuan.
Menurutnya, selain sumbangan kewangan atau barangan, syarikat termasuk GLC digalakkan memperbanyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berterusan agar amalan kebajikan menjadi budaya dan bukan sekadar bermusim.
Beliau berkata, usaha membantu golongan kurang bernasib baik tidak seharusnya digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.
“Bantuan daripada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan bukan sahaja mampu mengurangkan penderitaan golongan kurang berkemampuan, malah meringankan beban kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk tujuan itu,” katanya.
Dalam majlis sama, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Surinam bagi mewakili Parlimen Beaufort, Sipitang dan Kimanis, manakala Salmah mewakili Parlimen Putatan serta Perkumpulan Perempuan Sabah.
Program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti pengagihan bubur lambuk kepada hadirin sebagai persediaan berbuka puasa.
Inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan Wanita GRS dalam memperkukuh jaringan kebajikan masyarakat serta memastikan golongan asnaf terus mendapat perhatian sewajarnya.
Majlis itu berakhir dengan sesi bergambar kenangan bersama 30 penerima sumbangan sebagai simbol penghargaan dan kebersamaan sempena Ramadan.
































