Fauzi (lima dari kiri, duduk) bergambar kenangan bersama pengamal media di Sabah.
KOTA KINABALU: Isu kebajikan wartawan Sabah khususnya berkaitan gaji akan dibawa ke Majlis Media Malaysia (MMM) sebelum diangkat ke peringkat Menteri bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
Presiden GKMM, Mohamad Fauzi Ishak berkata perkara itu dibincangkan secara khusus susulan isu gaji rendah yang dibangkitkan oleh Persatuan Wartawan Sabah (SJA) sempena Siri Jelajah Kelima GKMM di Sabah.
“Kita telah berbincang mengenai isu gaji rendah yang dibangkitkan SJA dengan memberi tumpuan khusus terhadap kebajikan pengamal media.
“Isu dan permasalahan ini akan dibawa ke MMM sebelum diangkat ke peringkat Menteri untuk diperhalusi secara terperinci agar penyelesaian dapat dicapai secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pengamal Media sekitar Kota Kinabalu, pada Khamis.
Jelajah GKMM diadakan bagi bertukar pandangan dalam kalangan pengamal media di setiap negeri, selain mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan dengan MMM.
Fauzi juga memaklumkan empat wakil daripada 35 organisasi media di seluruh negara telah dilantik memegang jawatan utama dalam MMM, badan yang mempromosikan standard tertinggi kewartawanan beretika dan bertanggungjawab.
Hadir sama, Presiden Sabah Journalists Association (SJA), Mariah Doksil; Ahli Majlis Pentadbir MPI merangkap Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, Dr Diana Dominic; serta Setiausaha SJA, Siti Aisyah Narudin.































