Jamawi Jaafar
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menegaskan bahawa pengimportan, pembiakan, penanaman atau sebarang aktiviti penyelidikan melibatkan tanaman guarana (Paullinia cupana) di Sabah adalah tidak dibenarkan.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, larangan itu dibuat bagi mengelakkan implikasi perundangan daripada Kerajaan Brazil, selaras dengan kenyataan rasmi Jabatan Pertanian Malaysia bahawa pengimportan dan penanaman guarana di Malaysia termasuk Sabah adalah dilarang.
“Ini selaras dengan pemakluman rasmi Ministry of Agriculture, Livestock and Food Supply (MAPA), Brazil melalui surat OFÍCIO Nº 5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020, di mana Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana untuk tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guarana
Menurut beliau, mana-mana pihak yang menanam guarana tanpa kebenaran pihak berkuasa Brazil berisiko dikenakan tindakan perundangan termasuk amaran, penyitaan serta penalti sehingga R$10 juta Real Brazil.
Jamawi menjelaskan, guarana merupakan tanaman herba semula jadi di Lembah Amazon, khususnya di Brazil, iaitu kawasan yang turut mempunyai penanaman getah dan insiden penyakit South American Leaf Blight (SALB) yang disebabkan oleh kulat Microcyclus ulei.
Katanya, penyakit SALB disenaraikan sebagai perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan mampu menyebabkan pengurangan hasil lateks, pertumbuhan pokok getah terbantut serta kematian pokok getah.
“Ini berpotensi menjejaskan industri getah negara khususnya di Sabah yang mempunyai keluasan tanaman getah seluas 241,565 hektar dengan pengeluaran sebanyak 75,760 tan pada tahun 2024 serta memberi pendapatan kepada pekebun kecil bernilai RM287.8 juta,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa guarana berisiko membawa penyakit baharu seperti Colletotrichum guaranicola yang boleh menyerang tanaman guarana serta tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran lain termasuk betik, pisang, mangga dan cili, sekali gus mengancam keselamatan agromakanan negeri.
Sehubungan itu, Jamawi berkata, Jabatan Pertanian Sabah tidak membenarkan pengimportan tumbuhan, produk pertanian dan artikel terkawal dari negara Brazil.
Beliau berkata, selaras dengan Peraturan No.5, Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167), sebarang aktiviti membawa masuk tumbuhan, produk pertanian atau artikel terkawal tanpa kebenaran bertulis Pengarah Pertanian Sabah melalui Permit Import atau Sijil Pemeriksaan adalah dilarang.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM10,000,” katanya.
Jamawi berkata, Pengisytiharan Tumbuhan Berbahaya 2025 di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) yang diwartakan pada 1 Disember 2025 turut mentakrifkan tumbuhan berbahaya sebagai bahan tanaman tidak sah, termasuk tumbuhan yang dibawa masuk tanpa melalui tatacara pengimportan, pemeriksaan pintu masuk atau kuarantin.
Menurutnya, setakat ini MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan sebarang pengimportan bahan tanaman guarana.
“Sebarang bahan tanaman guarana yang dibawa masuk secara tidak sah adalah melanggar undang-undang di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981,” katanya.
Beliau menegaskan semua pihak supaya tidak terlibat dalam pengimportan, pembiakan, penanaman dan penyelidikan guarana serta sentiasa mematuhi peraturan kuarantin tumbuhan demi melindungi industri pertanian, keselamatan biodiversiti dan keterjaminan makanan negeri Sabah.
































