Dr. Joachim (tengah) bersama delegasi DPPC.
KOTA KINABALU: Usaha memartabatkan sukan pickleball di Sabah terus diperkasakan apabila Dinkers Point Pickleball Club (DPPC) mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam baru-baru ini.
Rombongan kunjungan hormat itu diketuai Presidennya, Mohd. Noh Adzlie sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan DPPC secara rasmi, selain berkongsi visi serta komitmen kelab berkenaan dalam pembangunan sukan pickleball, khususnya dalam kalangan belia di negeri ini.
Dalam pertemuan tersebut, Dr. Joachim merakamkan penghargaan terhadap usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh DPPC, terutama dalam mencungkil dan membangunkan bakat belia melalui sukan pickleball yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penyertaan DPPC dalam Kejohanan APP Next Kuala Lumpur, yang disifatkan sebagai platform penting bagi memberi pendedahan serta pengalaman berharga kepada para pemain di peringkat kebangsaan, sekali gus membuka peluang lebih luas pada masa hadapan.
Selain itu, Dr. Joachim menasihatkan para pemain agar memanfaatkan sepenuhnya peluang menyertai kejohanan bertaraf nasional tersebut, memandangkan pengalaman sedemikian amat bernilai dalam pembentukan jati diri dan disiplin atlet.
Sementara itu, Mohd. Noh Adzlie berkata, kunjungan hormat berkenaan bukan sekadar sesi pengenalan rasmi DPPC, malah mencerminkan keyakinan terhadap peranan sukan sebagai medium pembangunan belia, pengukuhan komuniti serta pembudayaan gaya hidup sihat di Sabah.
“DPPC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan galakan yang diberikan, dan beriltizam untuk membawa nama Sabah dengan penuh kebanggaan di pentas kebangsaan melalui sukan pickleball,” katanya.
































