Azrul (empat ) dari kanan semasa menyapa salah seorang penderma darah di dalam program tersebut.
KOTA KINABALU : Sabah memerlukan sekitar 100,000 unit darah setiap tahun bagi memenuhi keperluan pesakit di negeri ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, Sabah masih berdepan kekurangan bekalan darah dan itu perlu ditangani segera menerusi penglibatan aktif masyarakat, jabatan kerajaan, agensi serta sektor swasta dalam menjayakan kempen derma darah secara berterusan.
“Sabah memerlukan lebih 100,000 unit darah setahun, namun bekalan yang berjaya dikumpulkan hanya sekitar 70,000 unit darah pada tahun lalu. Ini bermakna kita masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit darah.
“Saya menggalakkan seluruh rakyat di Sabah untuk tampil menderma darah bagi memastikan keperluan bekalan darah di negeri ini dapat dipenuhi bukan sahaja di Hospital Queen Elizabeth II tetapi di semua tempat.
“Kita faham bahawa terdapat cabaran yang agak besar di Sabah, khususnya di beberapa kawasan yang sukar diakses oleh pihak hospital untuk melaksanakan aktiviti libat urus dengan masyarakat.
“Hospital Queen Elizabeth II dengan kerjasama beberapa pihak telah melaksanakan program outreach dan kempen bergerak untuk menggerakkan staf mereka ke kawasan-kawasan strategik untuk pastikan tabung darah ini dapat dipenuhi berdasarkan keperluan.
“Selain itu, saya juga mencadangkan agar mana-mana pihak termasuk jabatan kerajaan dan sektor swasta terus melaksanakan kempen derma darah secara konsisten dan berkala bagi memastikan bekalan darah di Sabah sentiasa mencukupi.
“Usaha ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan, malah turut menyentuh soal nyawa manusia, termasuk ahli keluarga kita sendiri yang mungkin memerlukan bantuan pada bila-bila masa,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Queen Elizabeth ll, pada Isnin.
Beliau turut, mencadangkan agar kerajaan negeri bersama pihak berkepentingan mengenal pasti lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah untuk dijadikan lokasi tetap kempen derma darah, sekali gus memudahkan orang ramai tampil menderma.
“Pelbagai inisiatif dan pendekatan perlu dilaksanakan oleh semua pihak bagi memastikan tabung darah di Sabah sentiasa mencukupi, selaras dengan keperluan yang amat mendesak di negeri ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azrul turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan Hospital Queen Elizabeth II atas penganjuran sambutan berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penderma darah sukarela, dan dijangka kira-kira 200 unit darah dapat dikumpul dalam program itu.
Hadir sama, Pengarah Hospital Queen Elizabeth ll, Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth ll, Dr Shahnaz Irwani Sabri.
































