Armizan Mohd. Ali
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan sebanyak 15,881 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 1,304 siri PJRM telah dianjurkan di Perak, termasuk 43 siri di Parlimen Kuala Kangsar yang melibatkan 21 siri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dan 22 siri di DUN Manong.
Menurutnya, secara keseluruhan, pelaksanaan PJRM kini meliputi kesemua 600 kawasan DUN di seluruh negara serta 40 zon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Kerajaan komited untuk meningkatkan kekerapan penganjuran PJRM di seluruh negara. Ini adalah sejajar dengan maklum balas positif yang diterima daripada pelbagai pihak,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) di Dewan Rakyat hari ini.
Iskandar bertanya mengenai pelaksanaan terkini PJRM mengikut kawasan DUN dan kesediaan kementerian meningkatkan kekerapan program itu bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Armizan berkata, jumlah penganjuran PJRM terus menunjukkan peningkatan saban tahun hasil peruntukan tambahan yang disalurkan oleh kerajaan.
Menurutnya, sebanyak 6,870 siri PJRM telah dilaksanakan pada tahun 2023 sebelum meningkat kepada 12,419 siri pada 2024 dan seterusnya melonjak kepada 25,708 siri pada tahun lalu.
“Bagi tahun 2026, sasaran awal adalah pelaksanaan sebanyak 23,040 siri PJRM. Namun sasaran ini telah ditingkatkan apabila pada Mei 2026, YAB Perdana Menteri mengumumkan sebanyak 30,000 siri PJRM perlu dilaksanakan sepanjang tahun ini sebagai langkah intervensi terhadap krisis tenaga dan bekalan yang tercetus akibat Konflik Asia Barat,” katanya.
Armizan berkata, selain meningkatkan kekerapan penganjuran, Kerajaan MADANI turut memperkukuh pelaksanaan program jualan murah melibatkan kerajaan melalui lima pendekatan utama sejak tahun 2023.
Beliau berkata pendekatan pertama ialah menginstitusikan PJRM sebagai program tetap kerajaan yang mula diperuntukkan secara khusus dalam Belanjawan tahunan kerajaan di bawah agenda Payung Rahmah bermula tahun 2024.
Katanya, pendekatan kedua adalah menetapkan sasaran tahunan serta jumlah kekerapan penganjuran mengikut setiap DUN dan zon, berbeza dengan pendekatan terdahulu yang dilaksanakan secara ad hoc berdasarkan keperluan semasa.
Menurut beliau, pendekatan ketiga melibatkan pembukaan ruang lebih luas kepada syarikat, perniagaan dan koperasi dalam subsektor peruncitan untuk terlibat sebagai rakan strategik pelaksanaan PJRM.
“Sehingga 29 Jun 2026, sebanyak 2,695 rakan strategik peruncitan terlibat dalam pelaksanaan PJRM di seluruh negara,” katanya.
Armizan berkata, pendekatan keempat pula ialah memperluaskan akses rakyat melalui tiga kaedah pelaksanaan iaitu dalam premis, luar premis (statik) dan PJRM bergerak, selain penganjuran bertema seperti musim perayaan, Hari Gaji dan Musim Buka Sekolah.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan manfaat program diperluaskan ke kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, pendekatan kelima ialah memperkenalkan Takwim PJRM bermula tahun 2025 yang menyediakan maklumat awal kepada rakyat mengenai tarikh, masa dan lokasi penganjuran di setiap DUN dan zon di seluruh negara.
“Ini membolehkan rakyat menyemak penjadualan PJRM di kawasan sekitar dan membuat perancangan pembelian lebih awal,” katanya.






























