Dr. Joachim menerima Laporan Tahunan Pusat Biodiversiti Sabah 2025 daripada Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah, Ken Kartina Khamis.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti, agenda bioekonomi dan bioteknologi menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, pelan tindakan itu berfungsi sebagai kerangka strategik negeri untuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara bertanggungjawab melalui pendekatan berasaskan sains bagi menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta membangunkan industri bioteknologi yang mampan.
“Menerusi pelaksanaan pelan tindakan ini, Sabah berhasrat menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi sambil memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisional dimanfaatkan secara lestari serta manfaatnya dikongsi secara adil dan saksama kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata, tadbir urus biodiversiti di Sabah terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisional.
“Ini bagi memastikan sumber yang amat bernilai ini terus dipelihara dan dimanfaatkan secara lestari untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya pada majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 yang diadakan sempena sambutan Hari Biodiversiti Sedunia peringkat negeri di Hotel Hilton di sini malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim bersama para penerima anugerah.
Hajiji berkata, tema Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini, “Bertindak Secara Tempatan untuk Impak Global”, amat bertepatan dalam mencerminkan perjalanan Sabah dalam membuktikan bahawa tindakan di peringkat tempatan mampu menghasilkan impak yang signifikan di peringkat antarabangsa.
“Sabah bukan sahaja sebuah negeri yang kaya dengan biodiversiti, malah antara wilayah yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada agenda pemuliharaan biodiversiti global,” katanya.
Sebagai bukti komitmen tersebut, beliau berkata Sabah telah memperluaskan lagi Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menerusi pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan perlindungan baharu yang terdiri daripada hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.
Langkah itu akan meningkatkan keluasan keseluruhan TPA negeri kepada 2.227 juta hektar, mewakili 30.06 peratus daripada keluasan tanah Sabah. Pencapaian ini menyumbang kepada Sasaran 3 Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal yang bertujuan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman, marin dan pesisir pantai dipulihara serta diurus secara berkesan menjelang 2030.
Ketua Menteri berkata, Sabah terus memperkukuh reputasinya sebagai destinasi utama penyelidikan biodiversiti.
Beliau berkata, Hutan DaMaI (Danum-Maliau-Imbak) yang merangkumi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon telah menjadi hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang menarik penyelidik tempatan dan antarabangsa.
“Peningkatan jumlah permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 juga membuktikan pengiktirafan Sabah sebagai pusat penyelidikan biodiversiti terkemuka di rantau ini,” katanya.
Hajiji berkata, pelbagai penemuan penting termasuk pengenalpastian spesies baharu dan inovasi, dokumentasi habitat kritikal serta pembangunan pendekatan pemuliharaan telah dihasilkan melalui penyelidikan yang dijalankan di Sabah.
Beliau turut menyorot satu lagi pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah pertama antara Kerajaan Sabah dan Botanickel Sabah Sdn Bhd pada September 2025.
Projek itu memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara cekap melalui teknologi fitoekstraksi yang inovatif, melibatkan penggunaan tumbuhan hiperakumulator Sabah untuk mengekstrak nikel daripada tanah.
“Ia dijangka memberi impak positif kepada komuniti tempatan menerusi peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi, kontrak pertanian jangka panjang dan integrasi ekopelancongan, di samping menghantar isyarat kukuh kepada penyelidik, pelabur dan industri antarabangsa untuk meneroka potensi besar bioekonomi Sabah,” katanya.
Selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh penyelidikan dan inovasi, Hajiji berkata, Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah diperkenalkan bagi mengiktiraf penyelidik tempatan dan antarabangsa yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam memajukan pengetahuan saintifik mengenai biodiversiti Sabah.
“Saya berharap anugerah ini akan terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat kedudukan Sabah di persada dunia, di samping menyumbang kepada usaha berterusan dalam pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan biodiversiti secara lestari di peringkat tempatan, kebangsaan dan global,” katanya.






























