Yazid (duduk, kiri) bergambar bersama peserta Kursus Pembuatan Meatball Halal di Pekan Bingkor.
KENINGAU: Seramai 22 peserta menyertai Kursus Pembuatan Meatball Halal yang berlangsung di Pekan Bingkor, di sini, hari ini.
Program yang bertujuan meningkatkan kemahiran penyediaan makanan halal serta membuka peluang keusahawanan itu dikendalikan oleh Suriaty Rahmat yang berkongsi teknik menghasilkan meatball buatan sendiri secara halal, bersih, selamat dan berkualiti, selain membantu menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles.
Dalam ucapannya, Yazid merakamkan penghargaan kepada Biro Kebajikan dan Muslimah serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suriaty atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penyediaan makanan halal yang berkualiti.
“Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, malah membantu keluarga menyediakan makanan yang lebih bersih, selamat serta diyakini halal, di samping mengurangkan kos perbelanjaan harian.
“Lebih penting, kemahiran yang diperoleh boleh dimanfaatkan sebagai asas kepada perusahaan kecil atau perniagaan dari rumah yang berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kursus berasaskan kemahiran selaras dengan usaha memperkasakan masyarakat melalui penguasaan ilmu praktikal yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.
Menurutnya, kemahiran dalam penyediaan produk makanan halal berkualiti mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai sumber pendapatan tambahan, terutama dalam kalangan suri rumah dan usahawan kecil.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak program latihan dan kursus kemahiran dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing, berdikari dan mempunyai nilai tambah dalam pelbagai bidang.






























