David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik pelancaran Program Solar Penggunaan Sendiri (Solar Rakyat Sabah) oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 isi rumah di seluruh negeri.
Pengerusinya, David Chan berkata, inisiatif itu merupakan langkah progresif dalam memperkasakan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Sabah, di samping membantu rakyat mengurangkan kos penggunaan elektrik serta memperkukuhkan sekuriti tenaga negeri untuk jangka panjang.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan amat tepat pada masanya ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan utiliti yang semakin mencabar.
“YPNM Sabah melihat pelaksanaan program ini sebagai satu pendekatan yang amat tepat pada masanya, khususnya ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan utiliti yang semakin mencabar.
“Melalui pemasangan sistem solar di kediaman, pengguna berpeluang menjana tenaga elektrik sendiri bagi kegunaan harian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan grid serta menikmati penjimatan bil elektrik secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan tenaga solar berikutan menerima sinaran matahari yang tinggi sepanjang tahun, menjadikan teknologi solar bumbung antara penyelesaian tenaga yang paling praktikal, bersih dan mampan.
Beliau berkata, selain memberikan penjimatan kepada pengguna, program itu turut menyokong agenda peralihan tenaga hijau Sabah serta mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga konvensional.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna dari sudut ekonomi, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penggunaan tenaga lestari demi kelangsungan alam sekitar,” katanya.
Sehubungan itu, YPNM Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen ECoS dalam mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Chan berharap program berkenaan dapat diperluaskan pada masa hadapan agar lebih ramai pengguna, khususnya golongan B40 dan M40, dapat menikmati manfaatnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid serta seluruh warga ECoS atas usaha merealisasikan program berimpak tinggi tersebut.
Katanya, usaha berkenaan membuktikan komitmen berterusan ECoS dalam memperkenalkan penyelesaian tenaga yang lebih mampan dan berorientasikan kepentingan pengguna.
“YPNM Sabah berharap lebih banyak dasar dan inisiatif mesra pengguna akan terus diperkenalkan bagi memastikan rakyat menikmati bekalan tenaga yang lebih cekap, mampu milik, mampan dan selaras dengan aspirasi pembangunan hijau Sabah,” katanya.






























