Liew Yun Fah
KOTA KINABALU: Pelantikan Tan Sri Liew Yun Fah sebagai Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar terhadap keupayaan anak Sabah, selain membuka ruang untuk memperkukuh pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
Liew berkata, amanah untuk menerajui agensi strategik itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan rakyat Sabah memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi negara yang berteraskan teknologi dan inovasi.
“Ini bukan sekadar penghormatan kepada saya, tetapi juga satu pengiktirafan terhadap keupayaan anak Sabah untuk menerajui agenda teknologi, inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, di sini.
Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab ekonomi berasaskan teknologi, khususnya dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, bioteknologi dan industri berasaskan inovasi.
Katanya, negeri ini memiliki pelbagai kelebihan termasuk sumber semula jadi yang kaya, modal insan yang semakin berkembang serta kedudukan strategik yang mampu menyokong pembangunan sektor teknologi bernilai tinggi.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sektor swasta perlu terus diperkukuh bagi mempercepat pemindahan teknologi, menggalakkan pengkomersialan penyelidikan, menarik pelaburan berkualiti serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menurutnya, pendekatan kolaboratif itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan teknologi dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.






























