Julita Majungki
KOTA KINABALU: Dedikasi petugas kesihatan membolehkan perkhidmatan kesihatan di Sabah terus beroperasi dan memberikan rawatan kepada rakyat walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekurangan pakar perubatan, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki.
Julita merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat, pakar serta seluruh warga kesihatan atas profesionalisme dan komitmen mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan di negeri ini terus berjalan meskipun berdepan kekangan tenaga pakar.
Beliau turut menghargai semua pihak yang mengiktiraf cabaran tersebut serta menunjukkan keprihatinan terhadap isu berkenaan.
“Saya juga ingin memperjelaskan bahawa kenyataan saya sebelum ini bahawa perkhidmatan kesihatan masih boleh berfungsi dengan baik tidak bermaksud ia tidak terjejas oleh kekurangan pakar.
“Sebaliknya, apa yang saya tekankan ialah petugas kesihatan terus berusaha memastikan rakyat menerima rawatan dan perkhidmatan yang diperlukan walaupun berdepan kekangan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, pelbagai usaha sedang diperkukuh untuk menarik, melatih dan mengekalkan lebih ramai pakar perubatan di Sabah, termasuk menggalakkan pegawai perubatan melanjutkan pengajian kepakaran, meningkatkan kuota Hadiah Latihan Persekutuan khusus untuk Sabah, menyediakan Bayaran Insentif Penempatan Pedalaman (BIPP), serta kemudahan tuntutan perpindahan bagi pegawai perubatan yang ditempatkan ke negeri ini.
“Fokus kita ialah memperkukuh sistem kesihatan, menarik dan mengekalkan lebih ramai pakar perubatan serta memastikan rakyat Sabah mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mampan dan saksama,” katanya.






























