KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan telah menerima satu notis pemakluman berhubung penganjuran Perhimpunan Aman “Bangkit Sabahan 2.0” yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Julai 2026 di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hebahan di media sosial berkaitan penganjuran dua perhimpunan aman iaitu “Gempur Rasuah 3.0” dan “Bangkit Sabahan 2.0”.
Beliau berkata, setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hanya menerima satu notis pemakluman daripada penganjur “Bangkit Sabahan 2.0”.
“Bagaimanapun, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang notis pemakluman daripada pihak penganjur bagi Perhimpunan Aman ‘Gempur Rasuah 3.0’,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan, pihak penganjur hendaklah terlebih dahulu mengemukakan notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah yang mempunyai bidang kuasa di kawasan tempat perhimpunan itu diadakan.
Syed Lot turut mengingatkan bahawa pihak penganjur bertanggungjawab memastikan perhimpunan berlangsung secara aman, mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang aliran trafik serta tidak menjejaskan keselamatan orang ramai.
Selain itu, katanya, penganjur juga perlu memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku sepanjang penganjuran perhimpunan berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu termasuk mengelakkan penyebaran kenyataan atau tindakan yang menyentuh isu 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja, unsur hasutan, provokasi atau apa-apa perbuatan yang boleh mengancam ketenteraman awam serta keselamatan negara.
“Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.






























