Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim dan mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd. Said, menafikan tuduhan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berhubung isu larangan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar.
Azrul menyifatkan dakwaan yang dibuat oleh Hamdin Nordin menerusi media sosial bahawa Hajiji mengarahkan sekatan terhadap Asraf sebagai keterlaluan dan tidak berasaskan fakta, lebih-lebih lagi ketika Ketua Menteri sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.
“Tuduhan yang dilemparkan agak keterlaluan. Ketua Menteri ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah. Jika ingin menjadi hero dalam isu ini, rendahkan sedikit laras bahasa dan hormatilah keadaan semasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran Notis Amaran Sabah (NAS) dibuat oleh pihak berkuasa selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk penilaian risiko, peruntukan undang-undang serta kepentingan keselamatan negeri.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati kuasa imigresen khas Sabah yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Dalam menentukan sama ada seseorang individu dikenakan NAS, pihak berkuasa telah menjalankan penilaian risiko dan pertimbangan sewajarnya berdasarkan undang-undang serta kepentingan keselamatan negeri,” katanya.
Azrul turut memaklumkan beliau telah menghubungi Asraf bagi mendapatkan maklumat lanjut serta memahami keadaan keluarganya yang berada di Sabah.
Sementara itu, Jerry Ambuting turut menyifatkan kenyataan Hamdin sebagai melulu kerana menuding jari kepada Ketua Menteri tanpa memahami fakta sebenar.
Beliau menegaskan hak Sabah dalam mengawal kemasukan individu ke negeri ini adalah kuasa khas yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa imigresen.
“Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan tidak membuat tuduhan sewenang-wenangnya terhadap Ketua Menteri. Keputusan NAS dibuat berdasarkan penilaian pihak berkuasa, bukan sentimen politik atau kepentingan individu,” katanya.
Hamdin sebelum ini mendakwa Asraf dihalang memasuki Sabah atas arahan Ketua Menteri, selain mengeluarkan kenyataan berbaur kesat terhadap Hajiji.
Asraf pula memaklumkan beliau dihalang memasuki Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas dimaklumkan namanya disenaraikan di bawah NAS, walaupun isterinya merupakan anak jati Sabah dan dua anak mereka menetap di Kota Kinabalu.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai sebab khusus larangan tersebut, namun Kerajaan Negeri menegaskan semua tindakan berkaitan imigresen dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta mengambil kira keselamatan dan kepentingan Sabah.






























