Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengambil maklum pengumuman Sabah Electricity Sdn. Bhd. berhubung semakan dan pelarasan tarif elektrik di Sabah yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, secara prinsipnya pihaknya memahami bahawa semakan tarif elektrik merupakan langkah yang sukar dielakkan bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal stabil, berkualiti dan mencukupi untuk keperluan semasa serta masa hadapan.
“Pelarasan ini juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan secara berperingkat, selain menampung peningkatan kos bahan api, penyelenggaraan sistem serta keperluan menaik taraf infrastruktur grid elektrik yang semakin usang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun demikian, beliau menegaskan bahawa sebarang peningkatan tarif mestilah disertai dengan peningkatan kualiti perkhidmatan yang ketara dan benar-benar dirasai oleh rakyat.
“Isu gangguan bekalan, ketidakstabilan voltan serta kebolehpercayaan sistem tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila pengguna diminta membayar kadar yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut Azrul, Sabah Electricity perlu memastikan tahap kecekapan operasi, kebolehpercayaan sistem serta respons perkhidmatan pelanggan berada pada standard yang setimpal dengan pelarasan tarif yang dilaksanakan.
Beliau turut menggesa agar perlindungan kepada pengguna diperluaskan melalui mekanisme diskaun, rebat atau bantuan bersasar, khususnya kepada golongan B40, isi rumah berpendapatan sederhana, peniaga kecil serta sektor kritikal yang menyokong ekonomi rakyat.
“Pendekatan bersasar dan berfokus amat penting supaya pelarasan tarif ini tidak memberi tekanan berlebihan kepada kumpulan rentan,” katanya.
Azrul turut menegaskan bahawa setiap hasil tambahan daripada pelarasan tarif itu mestilah dibelanjakan secara berhemah, telus dan bertanggungjawab, dengan keutamaan diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur, pengurangan gangguan bekalan serta pelaburan dalam sumber tenaga yang lebih mampan dan cekap.
“Rakyat berhak melihat pulangan yang jelas dan ketara daripada apa yang mereka bayar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkepentingan mengambil pendekatan seimbang antara keperluan kewangan utiliti, tanggungjawab kerajaan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Semakan tarif ini bukan sekadar soal kenaikan harga, sebaliknya perlu menjadi langkah ke hadapan untuk memastikan sistem elektrik Sabah lebih terjamin, mampan dan boleh dipercayai untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.






























