Lelaki ditahan selepas kejar-mengejar kes curi kabel di Penampang.
PENAMPANG: Polis Penampang berjaya menumpaskan kegiatan curi kabel susulan penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun di kawasan Donggongon, di sini, petang semalam.
Suspek pada mulanya dikesan oleh Unit Peronda Polis (MPV) ketika memandu sebuah kenderaan mencurigakan sebelum bertindak melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Timbalan Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, aksi kejar-mengejar berlaku dari kawasan Kobusak sehingga ke Bundusan sebelum kenderaan yang dipandu suspek hilang kawalan dan merempuh sebuah premis perniagaan di Jalan Yue Min.

Katanya, walaupun suspek cuba melarikan diri secara berjalan kaki selepas kemalangan itu, kecekapan anggota polis memastikan dia berjaya diberkas dalam masa singkat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan segulung kabel wayar tembaga dan sebuah bateri kenderaan.
“Polis turut menyita kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah tersebut. Semakan rekod mendapati suspek mempunyai sejarah kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing terkini mengesahkan dia positif bahan terlarang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kes itu kerana melibatkan kepentingan awam.
“Polis Penampang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan kemudahan awam serta keselamatan masyarakat,” tegas beliau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini atau sebarang aktiviti mencurigakan diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.






























