KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, hari ini mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, pada Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas yang berlangsung di Tugu Peringatan Petagas, Jalan Putatan, di sini.
Dr Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, tiba di Taman Peringatan Petagas pada jam 8.30 pagi dan menerima tabik hormat daripada 11 kontinjen unit beruniform sejurus ketibaannya.
Istiadat peringatan tersebut melibatkan acara tiupan “Last Post” dan sesi bertafakur bagi mengenang mangsa-mangsa perang yang gugur mempertahankan tanah air.
Beliau kemudiannya mendahului upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Petagas bersama beberapa pemimpin lain yang hadir, disusuli dengan tiupan “Rouse”, sebelum tabik hormat dan sesi bergambar sebagai penutup program.
Sebanyak 11 kontinjen mengambil bahagian dalam upacara tersebut, terdiri daripada pasukan keselamatan, agensi kerajaan dan badan beruniform, termasuk Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melambangkan semangat perpaduan serta penghargaan terhadap sejarah perjuangan negara.
Upacara penuh istiadat itu diadakan sebagai tanda penghormatan bagi mengenang jasa dan pengorbanan para wira negara yang terkorban demi mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air.
Untuk rekod, Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas diadakan setiap 21 Januari bagi memperingati pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Jepun terhadap pejuang Gerila Kinabalu di Petagas pada 21 Januari 1944.
Tugu Peringatan Petagas merupakan lokasi pembunuhan dan perkuburan 324 ahli pasukan penentang tentera Jepun yang dikenali sebagai Gerila Kinabalu, terdiri daripada pemuda pelbagai kaum di Sabah (North Borneo) dan dipimpin oleh Albert Kwok.
Program seumpama ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah dalam memperingati peristiwa bersejarah sebagai simbol penghargaan kepada jasa pejuang terdahulu, di samping menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.


































