Redonah bergambar kenangan bersama Abd. Rahim dan pengurusan Sedcovest Holdings.
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda dilantik sebagai Pengerusi baharu Sedcovest Holdings Sdn. Bhd.
Redonah secara rasmi memulakan tugasnya kelmarin dan hadir ke Pejabat Sedcovest Holdings Sdn Bhd di Wisma Sedco Wawasan Plaza, di sini.
Beliau diberikan taklimat ringkas mengenai operasi serta hala tuju Sedcovest yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Abd. Rahim Md. Zain, bersama pihak pengurusan Sedcovest Holdings.
Redonah merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas kepercayaan yang diberikan, sambil menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar.
Menurut beliau, tanggungjawab itu menuntut komitmen tinggi bagi memastikan Sedcovest terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik Kerajaan Negeri yang berdaya maju dan berdaya saing.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan ekonomi yang inklusif perlu bermula di peringkat akar umbi dengan menyediakan peluang latihan keusahawanan, akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan serta pasaran yang lebih luas, khususnya kepada wanita yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pendekatan ini, katanya, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Selain itu, komitmen beliau dalam memperkasa ekonomi dan keusahawanan wanita luar bandar disifatkan sebagai langkah tepat ke arah pembangunan ekonomi yang lebih seimbang, inklusif dan mampan, sejajar dengan agenda pembangunan negeri Sabah.
Dalam lawatan tersebut, Redonah turut dibawa melawat premis perniagaan serta kemudahan Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) yang baharu di Anjung Selera, Teluk Likas, bersama pihak pengurusan Sedcovest.
Turut hadir dalam sesi taklimat itu ialah Pengurus Besar, Abd. Rahim Md. Zain; Pengurus Kewangan dan Akaun, DK Elymanizan Pg. Masri; Pengurus Pembangunan Usahawan, Nor Jahan Yaakub; Pengurus Pembangunan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Cannisius Ebin Gon; Pengurus Pembangunan Projek dan Perniagaan, Malizah Oldy; serta Pengurus Pengurusan Hartanah, Dayang Hanizah Mohd. Yusop.


































