Anwar Ibrahim
KERALAM (INDIA) (Bernama): Penglibatan Malaysia dalam BRICS bukan bertujuan untuk menentang mana-mana blok, sebaliknya mahu memperjuangkan sistem dan peraturan antarabangsa yang lebih adil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Malaysia terus mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Australia dan rakan-rakan antarabangsa lain, namun pada masa sama menyuarakan pandangan mengenai keperluan melakukan pembaharuan terhadap sistem antarabangsa sedia ada.
“BRICS atau ASEAN bukan bermaksud untuk menentang kumpulan (blok) lain, sebab itu kerjasama kita dengan EU,Amerika Syarikat, Australia, itu semua berterusan, tidak menghalang.
“Kita hanya menetapkan peraturan yang adil. Bagaimana kita bincang tentang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita tak bicara tentang sistem itu, sistem yang dipersetujui tahun 1945 sudah usang, tidak adil dan tidak demokratik,” kata beliau kepada media Malaysia di Calicut, di sini, sebelum mengakhiri lawatan kerja di India hari ini.
Anwar juga menegaskan Malaysia mesti mengekalkan hubungan baik dua hala dengan AS, namun ia tidak boleh menafikan hak negara untuk menyatakan sebarang pandangan yang dianggap penting bagi Malaysia, rantau dan dunia.
Selain itu, kata beliau, sistem antarabangsa termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga perlu disemak semula kerana terdapat aspek yang tidak lagi mencerminkan keperluan dan realiti semasa.
Beliau berkata Malaysia turut menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (USD) dalam perdagangan, termasuk menerusi penggunaan mata wang tempatan bagi transaksi antara negara.
Mengenai keanggotaan penuh BRICS, Anwar berkata terdapat moratorium terhadap permohonan keahlian penuh ketika ini, namun status Malaysia sebagai negara rakan membolehkannya mengambil bahagian dalam hampir semua aktiviti dan mekanisme kerja kumpulan berkenaan.
Perdana Menteri berkata Malaysia menerima sokongan untuk menjadi negara rakan BRICS dan akan terus memanfaatkan peluang yang tersedia bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta perdagangan.
“Terdapat moratorium dari segi (permohonan) keahlian penuh. Namun mereka berbesar hati menerima Malaysia sebagai negara rakan pada peringkat awal lagi.
“Berdasarkan pemerhatian saya terhadap mekanisme kerja dalam BRICS, ia nampaknya tidak menghalang kita daripada menyertai hampir semua aktiviti, dan kita telahpun berbuat demikian,” kata Anwar.
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasitinya sebagai negara rakan BRICS, status yang dipegangnya sejak 1 Januari 2025.
Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi, dan menyampaikan ucapan pada sesi Kenyataan Negara mengenai ‘Membentuk Masa Depan bagi Pertumbuhan Global yang Inklusif’. — BERNAMA






























