Dr Sabin memberi taklimat kepada Hajiji mengenai cadangan Pasar Besar baharu berhampiran Alam Mesra di sepanjang Jalan UMS, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bercadang memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu (KK) keluar dari pusat bandar raya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan kertas kerja mengenai cadangan itu untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri kelak.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan menyediakan kertas kerja yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet kelak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau dua lokasi yang dicadangkan untuk pasar baharu di Alam Mesra dan sepanjang jalan pesisir Jalan Tun Fuad Stephens, hari ini.
Hajiji berkata, pejabat Datuk Bandar turut akan mengemukakan cadangan mengenai masa depan Pasar Besar KK sedia ada selepas ia dipindahkan.
“Sebab itu kita melawat lokasi yang dicadangkan untuk Pasar Besar baharu, tetapi ini masih di peringkat awal. Jika yang baharu dibina, ia akan mempunyai semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Hajiji melawat tanah Kerajaan Negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan UMS di Alam Mesra yang dicadangkan sebagai lokasi Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.
Beliau diberi taklimat mengenai cadangan pembangunan itu oleh Datuk Bandar, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah di lokasi berkenaan.
Antara kemudahan yang dicadangkan di hab pasar itu ialah pasar kering, pasar basah, pusat kebudayaan, produk tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan.
Hajiji turut melawat lokasi kedua yang dicadangkan, iaitu tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas di sepanjang jalan pesisir Tun Fuad Stephens, bersebelahan Anjung Selera.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu-Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai; dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.






























