Salleh, Madius dan Steve
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak senada dengan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berhubung kenyataan tidak wajar seorang pemimpin UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dilihat kurang peka terhadap sensitiviti penganut agama Kristian di negara ini.
Salleh berkata, jenaka berunsur seksual yang mengaitkan paderi Katolik dan biarawati, yang disampaikan oleh wakil pimpinan UMNO Sepang di pentas PAU, tidak boleh diterima.
Beliau berkata, pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas atas kenyataan tersebut.
“Pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas. Ini bukan soal politik. Ini soal rasa hormat, tanggungjawab dan memahami batas yang tidak sepatutnya dilanggar.
“Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama.
“Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara.
“Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya ketika memetik pautan Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, Madius menyuarakan perkara itu menerusi saluran media sosialnya dengan menempelak ucapan pemimpin berkenaan yang menggunakan kisah membabitkan paderi dan biarawati, termasuk rujukan kepada Mazmur 129, sebagai sebahagian daripada ucapannya.
Madius berkata, paderi Katolik dan biarawati tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan politik utama negara.
Beliau berkata, sama ada ia dimaksudkan sebagai jenaka atau sindiran, perkara itu tetap tidak wajar kerana menyinggung perasaan masyarakat beragama Kristian di seluruh negara.
“Kitab Suci, paderi Katolik dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara,” tegasnya.
Madius berkata, penceramah berkenaan perlu mengakui kesilapan, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian.
“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun menyifatkan penggunaan “jenaka Katolik” oleh seorang perwakilan UMNO Selangor ketika PAU 2026 sebagai tidak wajar dan tidak sensitif terhadap masyarakat beragama Kristian.
Beliau berkata, tokoh agama, kitab suci dan kepercayaan mana-mana komuniti tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka, khususnya di pentas politik nasional.
“Malaysia ialah sebuah negara majmuk. Keharmonian yang kita nikmati bergantung pada sikap saling menghormati antara agama dan kaum, bukan sekadar ketika keadaan tenang tetapi juga dalam cara pemimpin memilih kata-kata mereka,” katanya.
Menurut Steve, perkara itu amat dekat dengan masyarakat Sabah yang sejak sekian lama mengamalkan kehidupan berbilang agama dan kaum dalam suasana saling menghormati.
“Di Sabah, perbezaan agama bukan alasan untuk kita saling merendahkan. Semangat hidup bersama inilah yang mesti dipertahankan dan dicontohi,” katanya.
Steve berkata, kebebasan berucap atau berjenaka tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan sensitiviti agama, lebih-lebih lagi apabila melibatkan paderi, biarawati dan rujukan kepada kitab suci.
Katanya, penggunaan rujukan agama secara tidak tepat juga boleh mengelirukan masyarakat serta memberi gambaran seolah-olah teks suci boleh dipetik sesuka hati demi menghasilkan gelak ketawa.
“Humor mempunyai tempatnya dalam politik, tetapi agama juga mempunyai batas penghormatan yang mesti difahami oleh semua pihak,” katanya.
Beliau menegaskan isu berkenaan harus dilihat sebagai soal adab dan tanggungjawab awam, bukannya semata-mata pertikaian kepartian.
“Prinsip menghormati agama mesti terpakai kepada semua pemimpin, tanpa mengira parti atau kedudukan. Standardnya mesti sama,” katanya.
Steve berkata, ahli politik yang diberi ruang di pentas nasional perlu menunjukkan tahap kepekaan lebih tinggi kerana ucapan mereka bukan sahaja didengar penyokong sendiri, tetapi turut dinilai masyarakat pelbagai latar belakang.
Beliau berharap insiden itu menjadi peringatan kepada semua pemimpin supaya lebih berhati-hati memilih kata-kata dan memastikan agama tidak dijadikan bahan jenaka yang boleh menyinggung perasaan serta menjejaskan keharmonian rakyat Malaysia.
































