James bersama Rev. Justin dan Joloning pada majlis tersebut.
PAITAN: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah akan terus memperhebat usaha menyediakan lebih banyak kemudahan akses internet kepada sekolah-sekolah di negeri ini bermula tahun hadapan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih belum menikmati kemudahan berkenaan.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan tiada murid atau pelajar tercicir daripada arus pendidikan digital sejajar dengan perkembangan semasa.
Menurut beliau, sepanjang tahun ini sahaja, kira-kira 300 buah sekolah di seluruh Sabah telah dilengkapi dengan peranti satelit Starlink bagi memudahkan capaian internet dan menyokong proses pembelajaran serta pengajaran di sekolah.
“Kita tidak mahu lagi ada murid atau pelajar yang berdepan kesukaran mendapatkan akses internet. Usaha ini akan diteruskan dan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau menambah, kemudahan Starlink bukan sahaja penting di sekolah, malah perlu diperluaskan kepada komuniti setempat melalui inisiatif e-Desa, khususnya di kampung-kampung yang masih tidak mempunyai liputan internet.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Peringkat Daerah Paitan, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir ialah Pengerusi Bersama majlis yang mewakili Gereja-Gereja Daerah Paitan, Rev. Justin Sansalu, serta Pegawai Daerah Paitan yang juga Pengerusi Penganjur, Joloning Joe Majambu.
Menyentuh mengenai majlis berkenaan, James berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum dan agama di Sabah terus menjadi platform penting dalam memupuk nilai keharmonian, perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kawasan Sugut di daerah Paitan, Beluran, yang disenaraikan antara 10 kawasan termiskin di negara, menjadi antara keutamaan beliau untuk dibangunkan dan dibawa keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Terdahulu, James turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas kepercayaan yang diberikan sekali lagi kepada beliau sebagai wakil rakyat kawasan Sugut pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, sambil mengajak semua pihak berganding bahu memastikan Paitan dan Sugut terus maju seiring pembangunan semasa.
Sementara itu, Rev. Justin Sansalu dalam ucapannya berkata, tema sambutan Krismas tahun ini mengajak masyarakat menghayati nilai kemanusiaan sejagat seperti kedamaian, kasih sayang dan harapan, di samping mengekalkan keharmonian yang sedia terjalin dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan budaya di daerah Paitan.
Manakala Joloning Joe Majambu pula berkata, sambutan perayaan secara bersama mencerminkan rasa kesyukuran serta kematangan masyarakat setempat dalam meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam suasana aman dan harmoni.
































