Hendrus (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Pemuda dan Pengerusi Penganjur Persidangan Pergerakan Pemuda PBS, Sahrol Mahoolop sempena majlis perasmian serentak persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, hari ini.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menekankan peranan Pemuda dan Wanita sebagai pelapis utama dalam memastikan kelangsungan perjuangan parti di negeri ini.
Naib Presiden PBS, Datuk Hendrus Anding berkata, pergerakan Pemuda dan Wanita PBS bukan sekadar sayap sokongan, tetapi tunjang utama yang perlu bergerak seiring dengan kepimpinan Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi Pusat.
“Proses pembangunan pelapis parti, harus bermula dari akar umbi, dari bahagian dan cawangan masing-masing, dengan diasah, dibimbing dan dipupuk secara berterusan” jelasnya ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS yang berlansung di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang empat dekad penubuhan PBS, parti telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis, termasuk menghadapi perubahan landskap politik, cabaran setia dan hilang arah bagi sebahagian ahlinya.
“Ini adalah realiti perjuangan politik. Namun yang paling penting ialah bagaimana kita membina pelapis yang kukuh agar perjuangan parti dapat diteruskan.
“Pemuda perlu bersiap sedia bukan sahaja dari segi kesetiaan kepada parti, tetapi juga perubahan sikap, kematangan, gaya komunikasi, pembawaan diri dan imej kepimpinan. Ini penting bagi mereka yang ingin menjadi pewaris kepimpinan PBS di masa depan,” kata Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan.
Beliau turut menekankan kepentingan Pemuda dan Wanita melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan kepakaran profesional lain bagi menghadapi cabaran politik moden.
“Pengalaman PRN lalu menunjukkan betapa pentingnya golongan muda yang arif dengan teknologi dalam memacu strategi parti,” jelasnya.
Mengenai Wanita PBS, beliau berkata, sayap itu perlu melalui proses peremajaan yang serius untuk memastikan kesinambungan kepimpinan wanita di peringkat pusat.
“Gandingan antara pemimpin wanita muda dan senior perlu diperkukuh bermula di peringkat bahagian supaya kita tidak ketandusan pelapis wanita pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pimpinan parti amat menghargai cadangan Pemuda dan Wanita dalam persidangan dan program parti, termasuk inisiatif bagi memberi peluang kepimpinan dan memperkukuh struktur dalaman PBS. Reformasi dalaman, katanya, adalah langkah penting untuk memastikan parti terus relevan, kukuh dan diyakini rakyat Sabah.
“PBS percaya bahawa membina pelapis yang mantap adalah kunci untuk memastikan perjuangan parti kekal relevan, berkesan dan selaras dengan aspirasi rakyat Sabah. Pemuda dan Wanita adalah tonggak yang akan membawa parti ke masa depan,” tambahnya.
































