Christoper Mandut
PENAMPANG: Beberapa usul utama telah dikemukakan oleh Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Christoper Mandut dalam Ucapan Dasarnya sempena Persidangan Perwakilan Pemuda PBS Kali Ke-40 yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini hari ini.
Usul tersebut merangkumi rayuan agar Kerajaan Negeri memanjangkan serta meningkatkan insentif RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian ke Semenanjung Malaysia berikutan kos tambang penerbangan yang semakin meningkat; keperluan menilai dan mengangkat kepimpinan Pemuda ke jawatan lantikan dalam kerajaan dan agensi berkaitan; pemberian jawatan serta pengiktirafan termasuk pingat kepada ahli parti yang setia dan berdisiplin; tuntutan supaya Pemuda PBS diberi peluang lebih luas menduduki jawatan lantikan politik seperti Setiausaha Politik, Pegawai Khas, Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahli Lembaga Pengarah, jawatan di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta Mahkamah Anak Negeri; dan pengiktirafan peranan Pemuda sebagai tunjang kesinambungan kepimpinan parti.
Mengulas lanjut, Christoper turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam atas kejayaan memimpin parti dengan cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, kepimpinan Presiden PBS telah membawa nafas baharu kepada barisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) serta keseluruhan struktur parti.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian PBS dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU-DU) Sabah yang lalu apabila parti berjaya mengekalkan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sekali gus membuktikan keyakinan rakyat terhadap hala tuju dan perjuangan parti.
Menyentuh aspek kebajikan pelajar, beliau menegaskan bahawa kos sara hidup dan tambang penerbangan yang semakin tinggi memberi beban kepada anak-anak Sabah yang menuntut di luar negeri.
Justeru, beliau menyeru Kerajaan Negeri agar mempertimbangkan kesinambungan dan penambahbaikan insentif perjalanan tersebut demi memastikan kebajikan pelajar terus terbela.
Dalam aspek pembangunan kepimpinan parti, Christoper menekankan kepentingan menyediakan laluan jelas kepada golongan muda untuk menyumbang secara langsung dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
“Penglibatan Pemuda dalam jawatan strategik akan memperkukuh keberkesanan penyampaian dasar serta melahirkan barisan pemimpin pelapis yang berpengalaman,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesetiaan ahli parti perlu dihargai secara adil dan bermakna.
Justeru, katanya, mana-mana ahli yang setia, sabar dan terus bersatu bersama PBS wajar diberikan pengiktirafan yang setimpal sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen jangka panjang mereka.
Christoper turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Ahli Majlis Tertinggi PBS serta pimpinan parti yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada Pemuda PBS.
Beliau secara khusus turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Jahid Jahim yang disifatkan sebagai idola dan mentor Pemuda, Datuk Lu selaku Bendahari parti, Datuk Jonnybone serta semua rakan seperjuangan dalam AMT PBS.
Persidangan Perwakilan Pemuda PBS Kali Ke-40 ini menjadi platform penting bagi memperkukuh peranan Pemuda sebagai tulang belakang parti serta pemangkin kepada kesinambungan kepimpinan PBS dalam mendepani cabaran politik dan pembangunan negeri Sabah.
































