Jamawi Jaafar
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) diperuntukkan sebanyak RM559.85 juta bagi pembangunan sektor pertanian negeri pada tahun 2026, sejajar dengan usaha memperkukuh keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah itu, RM416.76 juta diperuntukkan bagi bajet perbekalan manakala RM143.09 juta melibatkan bajet pembangunan.
Beliau berkata, peruntukan besar itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri terhadap sektor pertanian yang menjadi antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah.
“Sektor pertanian menyumbang 14.5 peratus kepada KDNK negeri dengan nilai RM12.2 bilion berdasarkan data 2025, selain berperanan menjamin bekalan dan keselamatan makanan,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkaitan Bajet Negeri 2026.
Menurut beliau, kementeriannya mengambil maklum pelbagai isu dan cadangan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan sepanjang persidangan, melibatkan sektor pertanian, perikanan, ternakan serta pengurusan saliran dan tebatan banjir.
Katanya, sebahagian besar cadangan telah dan sedang dilaksanakan, manakala selebihnya berada dalam peringkat perancangan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Antara isu utama yang diberi perhatian termasuk pembangunan tanah pertanian terbiar, pengukuhan industri perikanan hiliran, kawal selia ladang ternakan, mekanisasi pertanian serta peningkatan sosioekonomi nelayan darat.
Jamawi turut memaklumkan usaha memperkasakan sektor pertanian melalui latihan teknologi pertanian pintar, sistem rumah hijau berautomasi, kilang tanaman dalam kontena serta penggunaan sistem pengairan pintar.
Beliau berkata, penubuhan Sabah Agricultural Biotechnology Center (SABTeC) di Tuaran juga akan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D), khususnya bagi menangani kesan perubahan iklim terhadap tanaman makanan utama.
Bagi sektor perikanan, katanya, Kerajaan meneruskan program bantuan nelayan termasuk kredit mikro, pendaftaran nelayan darat, elaun sara hidup serta pembangunan tukun tiruan dan infrastruktur pendaratan ikan.
Dalam aspek kebajikan rakyat, Jamawi menegaskan komitmen kementeriannya menangani isu banjir dan sistem saliran melalui pelaksanaan dan perancangan projek tebatan banjir di beberapa kawasan kritikal di seluruh negeri.
Jamawi turut mewar-warkan inisiatif baharu MAFFI melalui cadangan memperkasakan Program Kebun Dapur.
“Kebun dapur ini berkonsepkan penghasilan tanaman, perikanan dan ternakan berskala kecil mengikut kesesuaian kawasan dan keupayaan isi rumah bagi meningkatkan keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan rakyat memperoleh sumber makanan asas secara kendiri, di samping mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
Jamawi menambah, pelaksanaan inisiatif kebun dapur akan melibatkan wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing bagi memastikan penyertaan masyarakat secara menyeluruh.
Menurutnya, penyelarasan pelaksanaan akan dibuat secara tersusun dan berasaskan keperluan sebenar komuniti setempat supaya memberi impak yang berkesan.
Beliau turut memaklumkan mekanisme pelaksanaan Program Kebun Dapur akan diperincikan dan diumumkan pada tahun hadapan.
Selain itu, MAFFI juga merangka pelaksanaan Program Mentor-Mentee Pertanian bagi membimbing golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian secara lebih sistematik.
Jamawi berkata, kementeriannya turut menggalakkan usahawan industri makanan memanfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.
“Ekonomi digital membuka ruang luas kepada usahawan makanan tempatan untuk menembusi pasaran lebih besar dan menjana pendapatan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau menegaskan semua maklum balas, idea dan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan akan diteliti dan diambil tindakan selaras dengan dasar serta kemampuan kewangan kerajaan negeri.
“Kementerian saya amat menghargai segala pandangan bernas yang dikemukakan dan komited untuk memastikan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
































