Rubin Balang
KOTA KINABALU: Sebanyak 50 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) akan dibina di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2026, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Rubin Balang.
Katanya, tambahan 10 unit bagi setiap DUN yang diumumkan Ketua Menteri pada Oktober 2025 memberi harapan kepada pasangan muda yang baharu berkahwin.
“Kerajaan Negeri prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar yang masih memerlukan tempat berteduh, rumah usang, golongan miskin dan B40, mangsa bencana alam, OKU, serta individu berdaftar dengan eKasih. Program Rumah SMJ akan diteruskan pada 2026,” katanya.
Rubin berkata, KPLB telah menyemak semula Garis Panduan Pelaksanaan Program Rumah SMJ selaras dengan penambahan kategori baharu.
“Pelaksanaan program ini akan lebih telus dengan garis panduan baharu,” katanya semasa membahas untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Rubin turut menyambut baik cadangan menyalurkan sebahagian peruntukan untuk membaik pulih rumah daif, namun peruntukan di bawah kod program hanya untuk pembinaan rumah baharu.
“Program membaik pulih rumah telah tersedia di bawah agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan GIATMARA, manakala Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) akan menyediakan kemudahan tersebut pada 2026,” katanya.
Rubin mengakui isu tanah menjadi kekangan utama pelaksanaan Rumah SMJ dan menekankan perlunya berhati-hati bagi mengelak pertikaian undang-undang.
“Penelitian menyeluruh dari segi skop kerja, prasarana sedia ada, pematuhan peraturan bangunan dan harga tanah tinggi di bandar perlu diambil kira,” katanya.
Beliau menegaskan KPLB Sabah bertekad menjadi lebih berkesan dalam membasmi kemiskinan dan semua pandangan rakyat akan diambil serius untuk tindakan susulan.
Mengenai Belanjawan 2026, Rubin berterima kasih atas peruntukan RM122.72 juta bagi Vot Perbelanjaan Perbekalan dan RM195 juta bagi Vot Pembangunan KPLB Sabah.
“Kementerian akan memanfaatkan peruntukan ini untuk pembangunan sosioekonomi golongan sasar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Bagi tahun 2026, KPLB akan memberi penekanan kepada tiga inisiatif baharu di bawah Vot Pembangunan: Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA), dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB).
Beliau berkata, program BELBA diperuntukkan RM1 juta untuk Mikro Hidro Elektrik dan Sistem Hibrid Solar bagi kawasan luar bandar tanpa sambungan grid utama. Program ini dijangka meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Bagi BALBA, peruntukan RM1 juta akan memberi tumpuan kepada pembinaan sistem air bawah tanah dan sistem air graviti baharu, khususnya di kawasan belum mempunyai liputan paip terawat.
Rubin berkata, program BELBA dan BALBA telah dilaksanakan di Tungku, Beluran, Pagalungan, Banggi dan Paitan di bawah RMKe-12, dan pada 2026 akan diteruskan di Paitan dan Ranau, mengikut pemetaan sumber air.
Projek JKLB pula diperuntukkan RM2 juta untuk membina dan menaiktaraf jambatan kecil yang sukar diakses, termasuk jambatan gantung, jambatan laluan kenderaan lima tan, dan lintasan paras rendah, khusus di daerah kritikal.
Beliau menjawab cadangan mewujudkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Luar Bandar bagi memantau projek infrastruktur KPLB, menyatakan ia selari dengan pengukuhan tata kelola kementerian dan akan diteliti Jemaah Menteri.
Berhubung Peruntukan Khas dan projek jambatan di beberapa kampung, KPLB akan menjalankan tinjauan dan semakan teknikal bersama Pejabat Daerah. Isu infrastruktur asas di Sebatik, Bengkoka dan Karamunting juga akan dinilai bersama Pejabat Daerah.
Rubin menegaskan KPLB akan terus fokus menambah pendapatan isi rumah termiskin/B40 melalui Program Pemerkasaan Produk Desa dan Pembangunan Kemahiran Daerah, termasuk kemahiran asas, tambah nilai, kebolehpasaran dan rantaian pasaran produk komuniti.


































