Hajiji (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Mohd. Azmir.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil dan Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), Mohd. Azmir Ramli di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau dilantik ke jawatan itu pada 16 September 2025. Sebelum menyandang jawatan itu, beliau merupakan Ketua Sekretariat, Sabah Logistics Council merangkap Penasihat Teknikal Logistik di Kementerian Kerja Raya Sabah.
Hajiji telah diberi taklimat mengenai hala tuju baharu SOGDC yang memberi fokus kepada perkhidmatan industri minyak dan gas, selain prestasi kemajuan Sipitang Oil dan Gas Industrial Park (SOGIP).
SOGDC adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk memacu pembangunan industri minyak dan gas hiliran, terutamanya melalui SOGIP, sekaligus berfungsi sebagai agensi kerajaan untuk menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
































