Julita Mojungki
KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus memperkasa wanita, meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan memperluas program kesejahteraan rakyat secara inklusif di Sabah pada tahun 2026.
Dalam ucapan penggulungannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau menyatakan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun atas Belanjawan 2025 yang bertemakan “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan”.
Julita menekankan bahawa belanjawan tersebut menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesejahteraan semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan rentan, secara inklusif dan holistik.
Bagi agenda pembangunan wanita, beliau berkata, kementeriannya akan memperhebatkan program sedia ada dan memperkenalkan inisiatif baharu termasuk: Program JHEWA BizBloom bagi latihan keusahawanan dan bimbingan mentor untuk ibu tunggal dan wanita B40; Program Keluarga Sejahtera Wanita Unggul untuk meningkatkan kemahiran pengurusan keluarga; serta perluasan Program GENDERasi Harmoni ke 10 daerah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesaksamaan gender dan pembangunan berasaskan lensa gender di komuniti luar bandar.
Dalam sektor kesihatan, kementerian akan melanjutkan Bantuan Caj Rawatan Hemodialisis di seluruh fasiliti kesihatan kerajaan pada 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada 2,219 pesakit buah pinggang. Inisiatif ini merupakan fasa kedua Skim Bantuan Kesihatan SMJ “Sabah Sejahtera” selepas pengagihan 100 mesin hemodialisis pada 2025.
Bagi kesejahteraan rakyat, Program Bantuan Sosial Sekolah akan diteruskan di 1,074 sekolah rendah seluruh Sabah untuk meringankan beban kewangan ibu bapa. Bantuan lain kepada warga emas, OKU, kanak-kanak, ibu tunggal, serta mangsa bencana juga akan diteruskan, termasuk pengembangan Pusat Autisme Sabah di Sandakan, Tawau dan Beaufort, dengan Pusat Autisme Tawau dijangka dibuka pertengahan Januari 2026.
“Kementerian turut merancang memperluas perkhidmatan penjagaan warga emas melalui Kompleks Warga Emas dan OKU Inanam yang dijangka siap Ogos 2026, dan Rumah Warga Tua Kendiri Telupid yang mensasarkan warga emas sihat dan berdikari, dijangka siap Mac 2026. Tambahan pula, Pusat Jagaan Harian (MERPATI) akan diperkenalkan di beberapa lokasi termasuk Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya.
Julita juga menekankan program-program berkaitan negeri bebas dadah, melalui kajian impak Program PEMADAM 2025 yang akan menjadi panduan penyediaan inisiatif baharu, serta program mengenai perpaduan, institusi kekeluargaan dan kepenggunaan pada 2026.
Beliau turut menjawab beberapa pertanyaan ADUN, termasuk pembangunan Klinik Kesihatan Jenis 2 Taman Sejati bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang mampu menampung 800 pesakit sehari, serta memastikan reka bentuk institusi warga emas mematuhi spesifikasi keselamatan dan piawaian kesihatan.
Dalam respons kepada ADUN N.67 Balung, beliau memaklumkan Pusat Autisme Sabah (PAUS) Kota Kinabalu telah beroperasi sejak 14 Ogos 2025 untuk kanak-kanak berumur tiga hingga tujuh tahun, dan akan diperluas ke Tawau, Sandakan dan Beaufort bagi membantu meringankan beban ibu bapa dari segi kewangan dan urusan harian.
Julita menegaskan, kementeriannya akan terus mengekalkan pendekatan inklusif, relevan dan dinamik dalam memperkasakan wanita, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan hala tuju pembangunan negeri Sabah pada 2026.
































