KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah akan diadakan pada Januari 2026 susulan kekosongan kerusi berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Ser Bung Moktar Radin.
Hari Penamaan Calon dijadual pada 10 Januari 2026 (Sabtu), pengundian awal pada 20 Januari 2026 (Selasa), dan hari mengundi utama pada 24 Januari 2026 (Sabtu). Tempoh berkempen rasmi berlangsung selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga pukul 11.59 malam pada 23 Januari 2026.
Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, kekosongan kedua-dua kerusi itu dimaklumkan secara rasmi oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul pada 8 Disember 2025, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya pada 9 Disember 2025.
“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 dan memutuskan tarikh-tarikh penting bagi PRK Kinabatangan dan Lamag,” kata Ramlan dalam kenyataan media SPR hari ini.
SPR juga membuka permohonan bagi semua kategori undi pos, termasuk petugas pilihan raya, anggota PDRM dan ATM, petugas media, serta warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara, mulai 16 Disember 2025. Tarikh tutup permohonan berbeza mengikut kategori, antaranya 6 Januari dan 8 Januari 2026.
Semua permohonan undi pos dilaksanakan secara dalam talian melalui Portal SPR di www.spr.gov.my, manakala panduan lengkap turut disediakan untuk memudahkan pengundi menunaikan hak mereka.
Bagi tujuan kelancaran PRK, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh lapan Penolong Pegawai Pengurus. Empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) turut ditubuhkan, melibatkan wakil PDRM, pihak berkuasa tempatan, dan wakil calon bertanding.
Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi kedua-dua PRK akan menggunakan Dewan Sri Lamag, Kinabatangan. SPR merancang melantik 1,106 petugas untuk mengendalikan PRK di 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran dan satu pusat pengundian awal.
Kos keseluruhan PRK dianggarkan sekitar RM10 juta manakala daftar pemilih terkini yang akan digunakan merangkumi 48,722 pengundi, termasuk 196 anggota polis. Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) dijadual mula dijual pada 5 Januari 2026.
Pengundi boleh menyemak pusat dan saluran mengundi masing-masing mulai 5 Januari 2026 melalui portal MySPR Semak atau menghubungi hotline SPR di 03-88927018. SPR turut menggalakkan calon mengisi borang penamaan dan membuat pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan proses penamaan berjalan lancar.
SPR juga menawarkan peluang kepada agensi kerajaan, NGO, dan badan lain untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi memantau keseluruhan proses bermula hari penamaan calon hingga pengumuman keputusan rasmi. Tarikh tutup permohonan pemerhati ialah 31 Disember 2025.
Selain itu, SPR akan menyiarkan proses pilihan raya secara langsung melalui live streaming di laman media sosial rasmi SPR bagi beberapa pusat dan saluran mengundi terpilih.
Bagi meningkatkan penglibatan pengundi, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ menggunakan media elektronik, media sosial, siar raya, dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik serta tempat tumpuan awam.
Ramlan menekankan langkah-langkah ini diambil untuk memastikan PRK Kinabatangan dan Lamag berjalan lancar, telus dan memberi peluang kepada semua pihak, termasuk pengundi pos dan pemerhati pilihan raya.
SPR menyeru seluruh pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi serta mematuhi semua prosedur yang telah ditetapkan demi kelancaran dan integriti pilihan raya.
































