Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang lelaki yang dipercayai tenaga pengajar madrasah yang memukul sekumpulan remaja lelaki menggunakan topi keledar di kawasan kedai.
Beliau berkata, video tular berdurasi hampir lima minit di media sosial itu jelas memaparkan perlakuan yang tidak wajar, apatah lagi dilakukan terhadap pelajar madrasah.
“Jika benar wujud masalah, kesalahan atau pelajar terbabit perlu dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar peraturan sekolah, ia tidak seharusnya dilakukan dengan cara menghentak kepala mereka menggunakan topi keledar.
“Tindakan tersebut tidak berasas, tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Fairuz, pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas terhadap lelaki dewasa terbabit bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan oleh pihak polis malam tadi untuk tujuan siasatan. Diharapkan tindakan ini dapat membendung kejadian serupa daripada berulang lagi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak dan remaja perlu dibentuk dengan sahsiah murni, manakala kesalahan tingkah laku mereka harus ditegur melalui bimbingan berhemah, bukannya dengan kekerasan dan tindakan keji seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan.
Dalam pada itu, Fairuz yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menekankan keperluan pihak berkuasa tempatan untuk memantau sistem pengurusan sekolah-sekolah termasuk madrasah, bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.
“Perlu ada tindakan khusus dan pemantauan berterusan terhadap pengurusan institusi pendidikan seperti ini. Ibu bapa menghantar anak-anak ke madrasah dengan satu tujuan, iaitu untuk membentuk sahsiah melalui pendidikan agama.
“Mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada tenaga pengajar untuk menjaga dan mendidik anak-anak mereka. Kejadian seperti ini pastinya menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa jika tiada tindakan tegas dan berkesan diambil,” katanya.
Fairuz turut menegaskan bahawa golongan remaja dan belia di peringkat sekolah merupakan generasi pelapis yang bakal menerajui masa depan dan legasi negeri Sabah, justeru hak mereka untuk mendapatkan pendidikan serta perlindungan di tempat belajar perlu diberi keutamaan.
“Anak-anak kita adalah permata negara dan bakal menjadi penerus pentadbiran serta pembangunan negeri.
“Mereka berhak belajar dalam suasana yang aman, selamat dan terjamin kebajikannya, khususnya di tempat mereka dididik seperti sekolah dan pusat pengajian,” katanya.
Beliau berharap semua pihak menyedari bahawa sebarang bentuk keganasan, apatah lagi yang bersifat zalim, hanya akan mencemarkan institusi masyarakat serta menimbulkan persepsi negatif yang merugikan semua pihak.
































