KOTA KINABALU: ADUN Dilantik, Datuk Chin Shu Ying menyatakan sokongan padu beliau terhadap Belanjawan Sabah Tahun 2026 berjumlah RM6.402 bilion yang berasaskan lima tonggak utama Kerajaan Negeri.
Membahas Belanjawan Sabah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin, Chin menekankan tonggak ketiga belanjawan berkenaan iaitu memperkasakan pembangunan modal insan melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran, produktiviti dan inovasi, selain memastikan kesejahteraan rakyat.
Sebagai seorang jurutera profesional, beliau turut membawa suara badan-badan profesional ke Dewan. Menurut beliau, lima badan profesional di Sabah – ACEM Cawangan Sabah, IEM Cawangan Sabah, Sabah Engineers Association (SEA), PAM Sabah Chapter dan Association of Sabah Architects (ASA) – telah memohon geran Kerajaan pada September lalu bagi menggalakkan penggunaan Building Information Modelling (BIM) di negeri ini.
Chin menjelaskan, BIM ialah pendekatan digital moden dalam reka bentuk, pembinaan dan pengurusan bangunan serta infrastruktur. Ia membolehkan pembangunan model 3D pintar yang mengintegrasikan data seni bina, struktur dan kejuruteraan, sekali gus memudahkan kolaborasi antara arkitek, jurutera, kontraktor dan klien, mengesan konflik reka bentuk pada peringkat awal, serta meningkatkan kualiti dan kelestarian projek.
Beliau menekankan kepentingan BIM kepada industri, termasuk meningkatkan kecekapan, menjimatkan kos dan masa, mempertingkatkan kualiti dan keselamatan, selaras dengan dasar kerajaan, serta menyediakan kesiapsiagaan menghadapi piawaian global.
Namun, ADUN berkenaan turut menyorot cabaran yang dihadapi firma perunding kecil dan sederhana di Sabah, antaranya kos lesen perisian yang tinggi, jurang latihan dan kemahiran, kurang kesedaran dan sumber, serta risiko kehilangan daya saing dalam projek besar.
Bagi merapatkan jurang ini, lima badan profesional tersebut mencadangkan agar Kerajaan Negeri memperuntukkan geran sebanyak RM2 juta untuk menyokong program latihan BIM. Geran ini akan diuruskan bersama oleh badan-badan profesional tersebut yang memiliki rangkaian luas dan kepakaran industri.
Objektif geran termasuk melahirkan tenaga profesional BIM berkemahiran, menyokong firma kecil dan sederhana, meningkatkan piawaian industri, memperkukuh daya saing tempatan dan menggalakkan penggunaan BIM secara menyeluruh. Pelan pelaksanaan dibahagikan kepada empat fasa iaitu kesedaran dan bengkel pengenalan, latihan pengendali, kursus lanjutan, serta pensijilan dan sokongan berterusan.
Hasil yang dijangka daripada inisiatif ini termasuk sekurang-kurangnya 300 pengendali BIM terlatih dalam tempoh dua tahun, peningkatan penggunaan BIM dalam kalangan firma kecil dan sederhana, penglibatan lebih besar dalam projek kerajaan, dan pengukuhan industri pembinaan Sabah sejajar piawaian nasional dan antarabangsa.
Chin menekankan bahawa penggunaan BIM bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk masa depan industri pembinaan. Beliau berkata, sokongan kerajaan melalui geran RM2 juta mampu memperkasakan industri pembinaan negeri, meningkatkan kemahiran, inovasi, dan daya saing firma tempatan.
Selain BIM, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan atas peningkatan peruntukan pembangunan keagamaan dan institusi bukan Islam, termasuk sekolah mubaligh dan persendirian, daripada RM70 juta ke RM90 juta pada tahun hadapan, sebagai tanda prihatin terhadap kesejahteraan rakyat tanpa mengira asal-usul, kaum dan agama.
Chin juga menyokong cadangan penubuhan dua jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) Kementerian Kewangan (JPP-KKNS) serta Jawatankuasa Pinjaman dan Pelaburan Kerajaan Negeri (SALIC). Beliau mencadangkan agar kedua-dua jawatankuasa turut dianggotai oleh profesional berpengalaman bagi membantu pengerusi menjalankan tugas dengan lebih efektif.
Beliau menyatakan sokongan terhadap arahan Ketua Menteri agar semua Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar Kumpulan dan Pengurus Besar bagi BBN dan GLC mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan bermula tahun hadapan akan meningkatkan prestasi dan ketelusan pengurusan badan berkanun serta syarikat kerajaan negeri.
Chin menegaskan bahawa inisiatif berkenaan selaras dengan tonggak ketiga Belanjawan Sabah 2026, iaitu memperkasakan pembangunan modal insan melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran, produktiviti dan inovasi demi kesejahteraan rakyat.
































