Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan bahawa peruntukan pembangunan dalam Belanjawan Sabah 2026 masih belum mencukupi bagi menangani masalah infrastruktur kritikal yang berlarutan, khususnya di Pantai Barat Sabah termasuk daerah Tuaran dan Tamparuli.
Membahas Belanjawan Sabah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini kelmarin, beliau berkata, aspirasi Kerajaan Negeri untuk melonjak dan mempercepatkan pembangunan adalah selari dengan kehendak rakyat, namun kekangan hasil negeri membataskan keupayaan pelaksanaan.
Menurutnya, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.865 bilion yang dicadangkan bagi tahun 2026 jauh daripada mencukupi untuk menyelesaikan isu asas seperti gangguan bekalan air terawat, bekalan elektrik, keadaan jalan raya serta keperluan logistik di seluruh negeri.
Beliau berkata, masalah jalan raya masih ketara apabila Sabah masih mempunyai 4,355 kilometer jalan gravel di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memerlukan peruntukan sekitar RM60 bilion untuk dinaik taraf sepenuhnya.
Di daerah Tuaran sahaja, katanya, masih terdapat 126 kilometer jalan gravel yang memerlukan peruntukan kira-kira RM500 juta untuk dinaik taraf kepada jalan berturap.
Madius turut memberi amaran bahawa jika kadar hasil tahunan negeri kekal sekitar RM6.43 bilion dan tiada peruntukan khusus untuk menaik taraf jalan-jalan gravel JKR, Sabah terpaksa menunggu sehingga 200 tahun untuk menyelesaikan masalah berkenaan sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Sabah terpaksa bergantung kepada ihsan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi menyelesaikan isu jalan luar bandar menerusi projek Jalan Luar Bandar (JALB).
Dalam aspek bekalan air, beliau memaklumkan bahawa margin simpanan pengeluaran air terawat Sabah masih berada pada tahap negatif 11 peratus, manakala Pantai Barat berada pada paras sifar, menyebabkan catuan air terus membebani kehidupan harian rakyat.
Beliau berkata, peruntukan RM209.67 juta di bawah Kepala Perbelanjaan Pembangunan D.33 bagi Rancangan Bekalan Air Terawat adalah tidak mencukupi, malah Sabah terpaksa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai sepenuhnya pembangunan sektor air.
Madius menekankan bahawa kawasan DUN Tamparuli merupakan hab utama pengeluaran air terawat bagi Bandaraya Kota Kinabalu dan Daerah Tuaran, di samping menjadi hab pengeluaran makanan seperti ayam, telur dan daging khinzir.
Namun, katanya, Loji Rawatan Air Telibong I berkapasiti 70 juta liter sehari kerap ditutup akibat pencemaran sumber air mentah, sehingga terpaksa dihentikan operasi lebih 30 kali tahun ini, sekali gus menyebabkan penderitaan berganda kepada penduduk Tuaran.
Beliau mengaitkan pencemaran tersebut dengan operasi ladang ternakan yang tidak dilesenkan oleh Jabatan Veterinar, sambil mencadangkan pindaan komprehensif terhadap Enakmen Haiwan 2015 bagi memperkukuh kuasa kawal selia, perlesenan dan penguatkuasaan selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Dalam pada itu, Madius menyuarakan kebimbangan bahawa projek Empangan Upper Padas yang diharapkan dapat menyelesaikan isu bekalan air Pantai Barat menjelang 2030 berdepan kelewatan berikutan perjanjian pembelian tenaga yang masih belum dimuktamadkan.
Sebagai langkah segera, beliau mencadangkan pelaksanaan Empangan Koiduan dipercepatkan dengan mengambil iktibar daripada kelemahan pelaksanaan Empangan Babagon, termasuk memastikan pampasan diselesaikan sebelum pembinaan dimulakan.
Madius merakamkan penghargaan terhadap langkah kerajaan negeri meningkatkan peruntukan pembangunan keagamaan bukan Islam serta institusi berkaitan daripada RM70 juta kepada RM90 juta dalam Belanjawan Sabah 2026.
Beliau mencadangkan agar peruntukan bagi agama bukan Islam ditingkatkan setara dengan peruntukan hal ehwal agama Islam berjumlah RM151.08 juta, selain memohon agar Taoisme turut dimasukkan dalam senarai agama bukan Islam yang layak menerima bantuan.
































