KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM317.72 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Pejabat-Pejabat Daerah dan Daerah Kecil untuk Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan pada tahun 2026 bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat akses kepada kemudahan asas, peluang ekonomi dan kualiti hidup yang lebih baik.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan berhasrat melaksanakan pembangunan wilayah yang seimbang bagi mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah.
Beliau berkata, pada tahun hadapan, KPLB akan melaksanakan pelbagai program dan projek baharu berimpak tinggi yang memberi kesan signifikan terhadap kesejahteraan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti pedalaman yang masih belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air bersih dan perhubungan jalan raya yang selamat.
Beliau menegaskan bahawa tadbir urus yang cekap di peringkat daerah akan diperkukuh melalui Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah, yang berperanan sebagai platform penyelarasan strategik dalam melaksanakan dasar pembangunan luar bandar secara lebih cekap, telus dan efisien.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kerajaan meluluskan siling peruntukan sebanyak RM1.71 bilion untuk melaksanakan 13 projek baharu pembangunan luar bandar. Bagi 2026, KPLB akan memberi tumpuan kepada tiga program utama iaitu Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB).
Masidi berkata, ketiga-tiga program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui akses kepada tenaga, air bersih dan jaringan infrastruktur yang lebih selamat.
Beliau menekankan bahawa pembangunan luar bandar bukan sahaja memperbaiki kemudahan fizikal, malah turut meningkatkan peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan visi Kerajaan untuk memastikan keseimbangan pembangunan di seluruh Sabah.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
































