KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun hari ini membentangkan Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion, yang sekali lagi memperlihatkan kedudukan fiskal negeri berada pada landasan kukuh dengan mencatatkan belanjawan lebihan RM28 juta.
Beliau berkata, belanjawan itu dirangka berteraskan aspirasi Kerajaan untuk melonjakkan pembangunan negeri secara lebih cepat dan inklusif, selaras dengan mandat baharu selepas Pilihan Raya Negeri yang baru berlangsung.
Masidi berkata, lima tonggak menjadi asas kepada penyediaan belanjawan, iaitu mempercepatkan pembangunan sektor produktif serta pelaburan, menangani ketidakseimbangan sosioekonomi, memperkasa modal insan, meningkatkan infrastruktur pemboleh daya dan memperkukuh kecekapan sistem penyampaian Kerajaan.
Dengan tema “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan”, beliau berkata, Kerajaan komited memastikan setiap dasar dilaksanakan secara responsif, efisien dan telus sambil menutup ruang pembaziran dan ketirisan.
Masidi mengumumkan anggaran hasil 2026 dijangka mencecah RM6.430 bilion, sedikit menurun berbanding 2025 berikutan kebergantungan terhadap dua komoditi utama, iaitu minyak mentah petroleum dan minyak sawit mentah yang terdedah kepada turun naik harga global dan kadar tukaran mata wang.
“Walaupun berlaku penurunan hasil komoditi berasaskan petroleum, pungutan Cukai Jualan Negeri (CJN), terimaan Kerajaan Persekutuan dan sumber bukan cukai lain dijangka membantu menampan penurunan tersebut,” katanya.
Bagi meningkatkan ketelusan dan memaksimumkan hasil, Masidi berkata, Kerajaan telah menguatkuasakan penggunaan harga rujukan bagi pengiraan CJN ke atas empat produk petroleum mulai 1 Oktober 2025, memastikan nilai pengisytiharan sepadan dengan harga pasaran semasa.
Beliau turut menjelaskan usaha agresif dilakukan bagi membanteras ketirisan hasil melalui Operasi Pemantauan Khas (OPK) bersama jabatan dan agensi Persekutuan, selain mendigitalkan kaedah pembayaran serta meneroka sumber hasil baharu merentas semua kementerian.
Masidi turut menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, menyifatkannya sebagai kemenangan penting dalam perjuangan Sabah menuntut hak perlembagaan.
Dalam pecahan perbelanjaan, RM5.202 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion sebagai pencaruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Anggaran perbekalan keseluruhan tahun 2026 menurun sedikit berbanding tahun sebelumnya susulan pelarasan antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Bagi emolumen, RM936.73 juta diperuntukkan, meningkat 3.63 peratus disebabkan kenaikan gaji tahunan, pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam serta penambahan pelantikan baharu. Perbelanjaan berulang pula menurun kepada RM2.22 bilion, manakala perbelanjaan khas turut menunjukkan penurunan akibat pemindahan sebahagian besar peruntukan ke bawah vot pembangunan.
Masidi turut mengumumkan peruntukan pembangunan 2026 sebanyak RM1.865 bilion — tertinggi dalam sejarah — dengan RM1.468 bilion ditanggung Kerajaan Negeri manakala RM397.21 juta merupakan pinjaman dan bayaran balik Kerajaan Persekutuan.
Daripada jumlah itu, RM996.47 juta atau 67.9 peratus diagihkan kepada sektor ekonomi, RM345.77 juta kepada sektor sosial, manakala RM125.40 juta kepada sektor pentadbiran am. Beliau berkata, di bawah RMK-13, Sabah menerima siling peruntukan RM12.02 bilion untuk membiayai 1,173 projek, termasuk 932 projek baharu.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama pemacu pertumbuhan negeri — pertanian, perindustrian dan pelancongan — yang diperuntukkan RM996.12 juta bagi menggerakkan pembangunan lebih agresif tahun depan,” katanya.
Masidi menegaskan, dengan asas fiskal yang kukuh, Kerajaan yakin belanjawan 2026 akan mempercepatkan pembangunan negeri sambil memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
































