Jamawi (dua dari kanan) bergambar bersama para hadirin pada majlis tersebut.
TENOM: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar optimis terhadap sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17, selepas menerima maklum balas yang sangat positif sepanjang kempen.
Jamawi berkata, penerimaan pengundi di seluruh Melalap amat menggalakkan dan jauh lebih baik berbanding pengalamannya bertanding sebelum ini.
“Bagi saya, saya berpuas hati. Saya dapat bertemu mesra, bersalaman hampir 7,000 pengundi…mudah-mudahan mereka mendapat gambaran apa yang saya buat untuk Melalap sekiranya diberi amanah sebagai wakil rakyat,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Gabungan Persatuan Komuniti Cina Daerah Tenom di sini malam ini.

Beliau berkata, gaya sambutan pengundi termasuk genggaman tangan yang kuat dan penuh semangat memberi isyarat jelas tentang sokongan yang diterimanya.
“Penerimaan sangat baik. Bila bersalaman, dia tidak setakat di hujung jari. Dia genggam dan dia goncang. Itu menunjukkan mereka betul-betul sokong,” katanya.
Jamawi berkata, sambutan ketika ceramah dan sesi bersemuka turut menggambarkan sokongan ikhlas daripada pengundi.
“Apabila kita buat ceramah ceramah…dengan riak wajah, mimik muka dan sorakan yang ada, kita dapat gambarkan bahawa sokongan itu ikhlas daripada hati. Jadi saya yakin dan percaya kita beroleh kejayaan,” katanya.
Beliau turut berharap kemenangan PH di Melalap dapat menyumbang kepada kestabilan kerajaan negeri pasca PRU DU.
“Dan dapat menyumbangkan satu kerusi untuk pembentukan kerajaan GRS-PH pada esok malam,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh kempen, jentera PH dan rakan komponen lain berada dalam keadaan terbaik serta bergerak lancar.
“Ok, hari ini hari terakhir. Jadi, setakat ini perjalanan kempen berjalan begitu baik. Jentera kita pun berjalan begitu baik. Bantuan-bantuan daripada rakan rakan komponen GRS dan BN juga ok,” katanya.

Jamawi berkata, beliau akan menunaikan tanggungjawab mengundi di S.K Melalap esok.
“Esok pagi, saya akan mengundi di S.K Melalap bersama isteri dan anak anak semua mengundi di SK Melalap,” katanya.
Beliau menyeru semua pengundi Melalap untuk membuat pilihan tepat.
“Masih ada ruang masa untuk kita memikirkan calon-calon yang terbaik daripada lapan orang. Dan sudah tentunya saya antara yang berpengalaman daripada tujuh yang lain…pernah menjadi wakil rakyat di Kemabong, aktivis politik dan pegawai pertanian. Dan penduduk Melalap akan dapat bonus kalau pilih saya kerana latar belakang saya dalam sektor pertanian dapat dimanfaatkan untuk pembangunan Melalap sebagai kawasan pengeluaran hasil pertanian terbaik di Sabah.
“Bukan sahaja mendapat seorang wakil rakyat, tetapi juga mendapat seorang mantan pegawai pertanian yang boleh membantu membangunkan sektor pertanian…undi saya untuk Melalap Membangun Bersama JJ, Monsoi.
“Jangan lupa undi Nombor 3. Pakatan Harapan Melalap, JJ, Monsoi,” katanya.
































