KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan semua persiapan bagi proses pengundian Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 esok berada pada tahap terbaik selepas pemeriksaan menyeluruh dibuat ke atas semua peralatan dan logistik.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, semakan teliti itu melibatkan peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan semua kelengkapan lain yang diperlukan untuk memastikan kelancaran Hari Mengundi.
“Proses semakan ini untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi Hari Mengundi lengkap dan dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua kelengkapan itu telah diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) di setiap saluran, manakala seramai 28,533 petugas akan bertugas esok bagi memastikan proses pengundian berjalan teratur.
PRU DU Sabah ke-17 turut menyaksikan pembukaan 882 pusat mengundi dengan 3,559 saluran, manakala seramai 1,742,934 pengundi berdaftar dijangka keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Khairul Shahril turut menjelaskan mengenai penggunaan lebih daripada satu peti undi di sesuatu saluran, bergantung kepada jumlah calon dan jumlah pemilih.
“Penggunaan lebih daripada satu peti undi ini adalah kerana saiz kertas undi yang besar dan memerlukan ruang yang mencukupi untuk memuatkan semua kertas undi yang telah ditanda oleh pengundi pada Hari Mengundi,” katanya.
Beliau sekali lagi menasihatkan pengundi agar tidak menunggu saat akhir untuk keluar mengundi serta merujuk “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan” melalui aplikasi MySPR Semak.
“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian…bagi membantu kelancaran proses pengundian pada Hari Mengundi,” katanya.
SPR turut mengingatkan pengundi membuat semakan awal maklumat pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan melalui portal MySPR Semak, talian hotline atau aplikasi mudah alih rasmi.
Selain itu, Khairul Shahril mengingatkan majikan supaya memberi tempoh munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan undang-undang.
Mengenai kempen, beliau menegaskan tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 malam ini, dan semua aktiviti merayu undi selepas waktu itu adalah dilarang.
“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi…termasuk melalui media sosial,” katanya.
SPR turut melarang pembukaan atau penyelenggaraan barung pada Hari Mengundi, serta mengingatkan calon dan parti membersihkan semua bahan kempen dalam tempoh ditetapkan undang-undang.
Dalam masa sama, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi juga ditegah.
“Penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan,” katanya sambil menambah bahawa pengundi yang membawa telefon perlu meletakkannya di tempat khas selepas menerima kertas undi.
Beliau turut menegaskan larangan memakai pakaian atau membawa bahan yang mempunyai nama, logo, simbol, gambar parti atau calon ketika memasuki pusat mengundi.
“Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.
Khairul Shahril berkata, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan proses pengundian esok berjalan lancar dan aman.































