Dr. Joachim dan Jain bergambar bersama sambil memegang bendera GRS.
KUNDASANG: Ketua Bahagian STAR N36 Kundasang, Jain Sauting menegaskan keputusan parti itu untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 adalah bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
Beliau berkata, antara keutamaan perjuangan mereka ialah memastikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dapat direalisasikan.
“Melalui Kerajaan GRS yang lalu, mereka berjaya sehingga akhirnya ada keputusan bahawa kita boleh mendapat perkara itu. Dan saya berharap melalui keputusan STAR untuk bekerjasama dan menyokong GRS, kita boleh memperoleh apa yang kita mahukan, terutama sekali dalam menunaikan aspirasi rakyat bagi meneruskan kesinambungan kerajaan yang stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jain berkata, STAR ketika ini memiliki seramai 6,100 ahli, terdiri daripada dua kelompok utama — lebih 3,000 adalah ahli STAR, manakala selebihnya merupakan bekas penyokong PKR yang sebelum ini bersama STAR pada pelbagai peringkat.
Beliau berharap semua penyokong STAR serta mereka yang pernah bersama PKR dapat bersatu hati demi memastikan kemenangan GRS di Kundasang.

Dr. Joachim dan Jain melaungkan GRS bersama.
“Kami mahu kerjasama yang kukuh antara semua pihak supaya matlamat kita tercapai dan kestabilan kerajaan dapat diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Calon GRS Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mengalu-alukan sokongan berkenaan.
“Saya amat mengalu-alukan sokongan mereka. Terima kasih kerana bersama-sama,” katanya ringkas.
Beliau menegaskan sokongan itu bukan sekadar kerjasama politik, tetapi satu perjuangan bersama demi masa depan Sabah yang lebih stabil dan makmur.
































