Dr. Joachim (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penduduk Kampung Pugi semasa lawatan ke markas GRS di kampung itu. – Foto Sabah Media/Zainal Zamzuri
RANAU: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang menyuarakan sokongan agar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memerintah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17, 29 November ini, bagi memastikan pembangunan berterusan di kawasan mereka.
Majoriti penduduk memilih GRS kerana pelbagai kemudahan asas dan projek pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan mereka sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Kampung Gunsapou, Rukimin Sambalik, 60, berkata, perubahan ketara dapat dilihat melalui naik taraf jambatan, jalan raya, mini dewan, surau, rumah penjaga surau, serta pewartaan tanah seluas 45 ekar untuk kampung itu.
“Selepas melihat semua pembangunan ini, saya yakin hanya GRS yang benar-benar membawa kemajuan ke kampung kami. Terima kasih kepada GRS, khususnya mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan mantan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun yang banyak membantu rakyat di sini,” katanya.
Rambanu Matinggi, 60, turut menyatakan penghargaan terhadap pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.
Di Kampung Pugi, Jail Kandayon, 61, berkata, beliau menyokong GRS kerana parti itu jelas membawa pembangunan yang diperlukan penduduk, terutama dari segi jalan raya.
“Saya sokong GRS kerana mereka nyata dapat bantu kawasan ini, khususnya infrastruktur jalan. Itu keutamaan kami. Banyak kemudahan lain kami mahu, tapi jalan raya mesti didahulukan. Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, saya harap beliau terus memperjuangkan pembangunan di sini,” katanya.
Christer Jail, 33, berharap GRS kekal sebagai kerajaan supaya pembangunan di Kundasang dapat diteruskan secara berterusan dan lebih maju.
Bagi Shamsudin Bani, 36, GRS diyakini mampu meraih kemenangan pada PRU DU Sabah ke-17, sekali gus memastikan pembangunan di Kundasang lebih pesat.
Sementara itu, Suhail Jaudin, 28, berkata, sokongannya kepada GRS berpaksikan rekod pentadbiran yang terbukti menyediakan kemudahan jalan raya dan pembangunan lain untuk penduduk tempatan.
“Kami mahu GRS terus memerintah kerana hasilnya sudah jelas kelihatan,” katanya.
































