Para Ketua Pemuda Cawangan PBS, Gagasan Rakyat dan PH N14 Tamparuli bergambar kenangan selepas program.
TAMPARULI: “Komuniti Bersatu Tamparuli Maju” bukan sekadar slogan, tetapi dizahirkan sepenuhnya melalui penganjuran Pertemuan Aspirasi Pemuda GRS bersama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi N14 Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface, yang berlangsung dengan penuh semangat di sini, semalam.
Program itu menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada para Ketua Pemuda Cawangan komponen GRS dan Pakatan Harapan (PH) Tamparuli.
Semangat kebersamaan yang dipamerkan cukup jelas apabila dua blok politik besar yang lazimnya berbeza pendirian kini hadir dalam satu saf demi memastikan kemenangan calon GRS di N14 Tamparuli.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh makna.
Dalam ucapan yang membangkitkan semangat, para Ketua Pemuda bersama sayap kepimpinan masing-masing menyatakan ikrar untuk memperkukuh kerjasama, menggembleng jentera belia, dan menggerakkan tenaga muda Tamparuli supaya lebih fokus, bersatu dan yakin menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.
Sementara itu, Dr. Bonaventure dalam ucapannya menyentuh aspirasinya untuk menjadikan Tamparuli sebuah kawasan progresif, sejahtera dan berdaya saing, khususnya melalui pemerkasaan belia.
Beliau menegaskan bahawa tenaga muda merupakan aset penting dalam membentuk kepimpinan yang stabil serta pembangunan yang lebih tersusun.
Program itu turut membuktikan bahawa politik Tamparuli semakin matang.
Kesediaan Pemuda GRS dan PH untuk berganding tangan mencerminkan iltizam mereka meletakkan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik.
Kejayaan program tersebut juga menunjukkan bahawa momentum belia Tamparuli semakin kuat dan keyakinan terhadap calon GRS N14 semakin mengukuh.
Semangat itu diyakini akan terus membawa Tamparuli ke arah masa depan lebih baik dan diterjemahkan pada hari pengundian nanti.
































