Pasukan bomba melakukan operasi menyelamat di lokasi kejadian itu. – Ihsan JBPM
KENINGAU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah lori membawa muatan telur terbabas dan terbalik di tepi jalan di Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.08 pagi itu, lori Nissan UD lapan tan yang dinaiki tiga mangsa berkenaan dilaporkan hilang kawalan sebelum terbalik, menyebabkan dua daripada mereka tersepit pada bahagian papan pemuka serta terhimpit pada struktur lori.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menghantar tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK I Ranizan Samirin bersama sebuah jentera FRT dan EMRS ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 9.15 pagi, seorang mangsa didapati mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri. Dua lagi mangsa ditemukan tersepit di bahagian hadapan lori.
“Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas penyelamatan jalan raya (RTA) termasuk telescopic ram secara manual (hand foot pump) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital oleh ambulans KKM untuk rawatan.
Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.59 tengah hari selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko lain di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut ialah pemandu lori berusia 58 tahun dan seorang lelaki dewasa manakala seorang lagi lelaki dilaporkan cedera.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
































