Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dipengerusikan bersama Safar dan Johan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Menara Kinabalu. Turut hadir Brenndon dan pegawai-pegawai kanan
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah hari ini memulakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas di peringkat pegawai bagi membincangkan kajian semula nilai Pemberian Khas Sabah, selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, susulan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Safar Untong bagi pihak Kerajaan Negeri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Johan Mahmood Merican mewakili Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir dari Kerajaan Persekutuan ialah pegawai kanan termasuk Dato’ Sri Ab Rahim Ab Rahman, Pengarah Belanjawan Negara; Zulkhairil Amar Mohamad, Timbalan Pengarah Belanjawan Negara; Marzaitul Azura Mokhtar, Ketua Bahagian Penyelidikan, Jabatan Peguam Negara; Mohd. Saiful Sungkih Abdullah, Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah & Sarawak, Jabatan Perdana Menteri; dan Norali @ Ag. Norali Ag. Damit, Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sabah.
Kerajaan Negeri Sabah pula diwakili oleh pegawai kanan termasuk Datuk Brenndon Keith Soh, Peguam Besar Negeri Sabah; Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof, Penasihat Undang-Undang Kepada Ketua Menteri; Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah; Datuk Jasmine Teo, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah; dan beberapa pegawai kanan lain dari Jabatan Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Sabah.
Dalam kenyataan bersama, Safar dan Johan memaklumkan, kedua-dua pihak bersetuju bahawa perbincangan hari ini menandakan permulaan yang berkesan dan konstruktif, dengan kesepakatan untuk mengkaji semula Pemberian Khas Sabah berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Mesyuarat ini merupakan langkah awal yang penting dalam memastikan kajian semula Pemberian Khas dilaksanakan secara sistematik dan profesional,” kata mereka.
Kedua-dua pihak juga menekankan komitmen untuk meneruskan perbincangan secara progresif, dengan semangat kerjasama, saling menghormati dan persefahaman, termasuk perkongsian data serta maklumat kewangan yang diperlukan bagi menyokong proses kajian semula.
Selain itu, mesyuarat ini dianggap sebagai landasan kukuh untuk mencapai penyelesaian yang adil dan saksama bagi kedua-dua pihak, selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Mereka berkata, kejayaan perbincangan awal ini menunjukkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat Sabah.
“Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan rundingan dijalankan secara telus dan mengikut peraturan Perlembagaan,’ tambah mereka.
Mesyuarat seterusnya dijangka akan memberi tumpuan kepada perkongsian data kewangan dan penyelarasan metodologi pengiraan Pemberian Khas, bagi memastikan formula yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan tepat dan berkesan.
Kerajaan Negeri dan Persekutuan berharap rundingan ini dapat membawa hasil yang memuaskan, memenuhi kehendak undang-undang, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
































