Hajiji bersama pemimpin komponen GRS menunjukkan Manifesto GRS pada majlis pelancaran.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa gabungan itu kekal utuh dan kuat meskipun terdapat segelintir pemimpin yang meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17.
Beliau berkata, tindakan beberapa individu yang memilih untuk berpindah parti atau bertanding sebagai calon Bebas adalah hak masing-masing, namun ia tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam menghadapi pilihan raya.
“GRS masih intact, masih kuat. Ada yang pindah parti, ada yang jadi calon Bebas, itu hak mereka. Tapi itu tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya kali ini. Kita juga ada strategi sendiri,” katanya kepada media selepas melancarkan Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hajiji berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu melibatkan beberapa pihak yang menarik diri daripada gabungan tertentu.
Mengenai calon Pakatan Harapan (PH) yang membuat keputusan menarik diri, beliau berkata, perkara itu adalah urusan PH dan enggan mengulas panjang.
“Itu dia tarik diri, itu parti PH. Saya tidak mahu komen,” katanya.
Walau bagaimanapun, Hajiji tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan tersebut memberi kelebihan kepada GRS di kerusi yang ditandingi.
Beliau menegaskan bahawa fokus GRS kini adalah untuk memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan, serta memperoleh mandat jelas daripada rakyat Sabah.
































