Daniel Kinsik
TAMBUNAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tambunan menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah media yang mendakwa kononnya parti itu mengesahkan sokongan kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di kawasan Tambunan.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, Ketua PBS Bahagian Tambunan, Datuk Daniel Kinsik menegaskan bahawa laporan bertajuk “PBS sahkan sokong STAR di Tambunan” itu adalah tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan secara rasmi oleh pihak bahagian.
“PBS Tambunan ingin menjelaskan bahawa kenyataan dalam laporan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana wakil rasmi bahagian. Mengikut peraturan dan tatacara parti, hanya Ketua Bahagian atau Setiausaha dan Ketua Penerangan Bahagian dengan persetujuan Ketua Bahagian dibenarkan mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.
Menurut Daniel, laporan berkenaan mengandungi banyak fakta tidak tepat dan bersifat mengelirukan, selain memutarbelitkan pendirian sebenar PBS Tambunan dalam konteks politik semasa di kawasan itu.
Beliau berkata, PBS Tambunan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kejujuran, disiplin organisasi serta menjaga nama baik dan integriti parti.
“Oleh itu, sebarang kenyataan yang tidak disahkan melalui saluran rasmi tidak boleh dianggap mewakili pendirian parti,” tegasnya.
PBS Tambunan turut menasihati pihak media dan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya merujuk terus kepada saluran rasmi parti bagi mendapatkan sebarang maklumat sahih berhubung dasar dan pendirian PBS.






























