Suasana ketika pertandingan ping pong berlangsung.
TAWAU: Kontinjen Papar membawa pulang pingat emas sulung acara ping pong setelah muncul juara kategori berpasukan lelaki pada Sukan Sabah (SAGA) XI 2025.
Pasukan Papar dianggotai Mohammad Shearil Aizat Ahmad, Ahmad Syuib Afendi, Muhammad Izzudin Sainin dan Muhammad Alham Muhamat menampilkan aksi bertenaga menewaskan pasukan Kota Kinabalu dengan keputusan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di SJK(C) Sin Hwa Tawau, pada Selasa.
Kekalahan tersebut menyaksikan pasukan Kota Kinabalu terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan pingat perak, manakala daerah Sandakan dan Penampang masing-masing berkongsi tempat ketiga.
Bagi kategori berpasukan wanita, Kota Kinabalu pula menampilkan prestasi cemerlang apabila meraih pingat emas selepas menewaskan Sandakan dengan keputusan 3-1.
Pasukan wanita Kota Kinabalu yang diwakili Elcy Christygina Soulis, Natalie Florance Hiew Li Ya, Kew Zi Harn, Beh Hui Qin dan Sylvia Chin Xing Xuan menunjukkan aksi konsisten sepanjang perlawanan akhir untuk memastikan kemenangan berharga itu.
Sementara itu, daerah Tawau dan Keningau masing-masing meraih pingat gangsa bagi kategori tersebut.
Majlis penyerahan pingat kepada semua pemenang akan diadakan pada15 Oktober di SJK(C) Sin Hwa, Tawau sebagai penutup rasmi acara ping pong sempena temasya sukan dwitahunan itu.


































