Haji Hajiji Haji Noor
TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi masing-masing yang akan diumumkan pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Ya, kami sudah tahu (pembahagian kerusi), tetapi saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada Hari Penamaan Calon dan anda akan tahu bilangannya,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status rundingan agihan kerusi antara GRS dan PH bagi menghadapi PRN-17.
Hajiji turut memaklumkan bahawa manifesto GRS akan dilancarkan selepas Hari Penamaan Calon.
“Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan di sini hari ini.
Menurut beliau, keyakinan tinggi terhadap sokongan rakyat berasaskan rekod pentadbiran cemerlang GRS–PH sepanjang lima tahun lalu.
“Kami telah mencapai banyak kejayaan menerusi pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat, termasuk membawa masuk pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.
“Kami juga membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan, di samping menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih.
“Selain itu, kejayaan turut dicatat dalam industri minyak dan gas. Pembangkang mungkin cuba menafikan pencapaian ini, tetapi saya percaya rakyat kini matang dan akan menghargai usaha serta hasil yang telah dicapai,” katanya.
Hajiji turut menjangka suasana PRN kali ini lebih meriah berikutan ramai parti politik telah menyatakan hasrat untuk bertanding.
“Marilah kita meraikan demokrasi,” katanya.
































